AKPS siasat pegawai tular terima RM100 melalui kod QR

SEPANG - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membuka siasatan dalaman terhadap seorang pegawainya susulan dakwaan tular mengenai salah laku membabitkan penerimaan bayaran RM100 melalui kod QR ke akaun peribadi ketika menjalankan tugas di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Komander AKPS KLIA, Mohd Safrie Zakaria berkata, pegawai yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut telah dipanggil oleh pihak pengurusan tertinggi AKPS KLIA untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, pihaknya turut menghubungi pemilik akaun Threads yang memuat naik dakwaan berkenaan pada jam 11 pagi, Ahad lalu, bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku.
"Bagaimanapun, sehingga jam 4 petang hari ini tiada sebarang maklum balas diterima daripada pemilik akaun tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Safrie berkata, AKPS mengambil serius hantaran yang tular di media sosial itu dan Bahagian Integriti AKPS KLIA telah menggerakkan siasatan dalaman secara menyeluruh serta terperinci bagi mengenal pasti fakta sebenar.
Katanya, sebagai agensi yang diamanahkan untuk menjaga pintu masuk negara, AKPS sama sekali tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang didapati melanggar prinsip integriti, menyalahgunakan kuasa atau ingkar terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Sekiranya hasil siasatan membuktikan wujudnya sebarang salah laku, tindakan tatatertib dan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi," ujarnya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu supaya tampil membantu siasatan.
"Kerjasama semua pihak amat dihargai demi memastikan integriti perkhidmatan serta kepercayaan masyarakat terhadap AKPS terus terpelihara," katanya.
Sebelum ini, pemilik akaun Threads mendakwa kejadian berlaku ketika dia pulang dari Indonesia secara bersendirian dengan membawa beberapa bungkusan bakso dalam bagasi.
Menurut dakwaan dalam hantaran itu, dia ditahan di kaunter pemeriksaan sebaik tiba di Malaysia sebelum dimaklumkan makanan berkenaan tidak dibenarkan dibawa masuk.
Individu terbabit mendakwa seorang pegawai bertugas kemudian menawarkan untuk melepaskan makanan berkenaan dengan bayaran RM100 melalui kod QR ke akaun peribadi.
Pemilik akaun itu turut mendakwa telah membuat laporan rasmi berhubung kejadian berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
