'Kami tahu perancangan Syed Saddiq, harap dapat diteruskan'- Hakim berseloroh

PUTRAJAYA – Di sebalik suasana tegang di Mahkamah Persekutuan pada Isnin, pengerusi panel tiga hakim berseloroh agar semua perancangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dapat diteruskan selepas keputusan majoriti memihak kepadanya.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais berkata, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu berusia 34 tahun itu kini sudah mengetahui keputusan majoriti memihak kepadanya.
“Diharap perancangan itu dapat dibuat dengan perkara yang sepatutnya," katanya yang mengundang senyuman daripada ahli keluarga dan penyokong yang berada di galeri awam.
Dalam keputusan tersebut, Syed Saddiq kekal dibebaskan daripada empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Menerusi keputusan majoriti 2-1, dua hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat, bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berusia 34 tahun itu, wajar dilepaskan.

Sementara Abu Bakar menjadi satu-satunya hakim yang berpandangan berbeza apabila mendapati bekas Menteri Belia dan Sukan itu bersalah.
Abu Bakar berkata, ahli politik tersebut dibebaskan daripada pertuduhan pertama iaitu bersubahat pecah Amanah namun didapati bersalah atas tiga kes lain iaitu salah guna harta dan AMLA.
“Keputusan itu menjadi tidak lagi relevan kerana dua lagi hakim tidak sependapat dengan saya.
“Mereka sudah tentu berhak memberikan pandangan masing-masing sebagai hakim Mahkamah Persekutuan mengikut sistem kehakiman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

