Covid-19 di SBP, perlu ada SOP seragam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BERMULA awal November lalu, dua anak penulis yang belajar di sekolah berasrama penuh (SBP) tidak ketinggalan menyertai pelajar lain kembali ke asrama selepas sekolah dibuka.

Ketika menghantar mereka, penulis melihat prosedur operasi standard (SOP) yang ketat diperkenalkan sebaik pelajar tiba di sekolah.

Mereka perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 sebelum dibenarkan ke bilik asrama masing-masing seandainya negatif.

Pelajar juga perlu menjalani dua lagi ujian kendiri dalam tempoh 14 hari lagi selepas itu.Melihat tiga ujian kendiri yang dilakukan, penulis yakin kedua-dua anak akan selamat selain berdoa agar mereka dijauhi daripada Covid-19.

Doa ini tentunya juga dititipkan kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak mereka pulang ke asrama.

Namun begitu, kebanyakan ibu bapa ada terselit sedikit kebimbangan memandangkan terdapat kemungkinan guru-guru, kakitangan sekolah dan pekerja dewan makan yang keluar masuk sekolah setiap hari membawa masuk Covid-19 dari luar ke dalam kawasan sekolah dan berjangkit kepada pelajar.

Kegusaran ibu bapa itu akhirnya menjadi kenyataan apabila dua buah SBP dilaporkan mengalami penularan Covid-19 baru-baru ini.

Pada Rabu lalu, Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan seramai 65 pelajar Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya, Selangor telah dijangkiti Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes indeks merupakan seorang guru yang terlebih dahulu dijangkiti virus berkenaan sebelum menjangkiti seorang lagi guru dan enam murid.

Keesokan hari, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman mengesahkan jumlah kes positif Covid-19 di SSP meningkat kepada 139 individu melibatkan seramai 114 pelajar, guru (15) dan 10 petugas keseluruhannya.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin selepas itu mendakwa terdapat kes kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku pada peringkat awal di Sekolah Seri Puteri sehingga menyebabkan penularan Covid-19 di sekolah itu berlaku dengan cepat. Beliau bagaimanapun tidak berhasrat menyalahkan mana-mana pihak.

Penulis tidak berhasrat menyokong atau mempertikaikan kenyataan Mohamed Hanipa ini, namun yang menjadi persoalan kepada penulis adalah pendekatan tidak seragam diamalkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terhadap dua sekolah berlainan iaitu SSP dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang, Kedah yang juga disahkan terdapat penularan Covid-19.

MRSM Pendang diarahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah agar tidak beroperasi selama tiga hari bermula Jumaat selepas tiga gurunya didapati positif Covid-19.

Berbeza dengan Sekolah Seri Puteri, difahamkan, kira-kira 800 pelajarnya masih perlu ke kelas seperti biasa lebih satu minggu selepas kes pertama positif Covid-19 melibatkan guru di sekolah itu dikesan.

Mungkin ini yang didakwa kecuaian oleh Mohamed Hanipa.

Sebagai ibu bapa yang mempunyai dua anak di SBP, perbezaan pendekatan ini menimbulkan tanda tanya.

Bagi penulis, tutup sementara sekolah seperti dinasihatkan PKD Pendang lebih baik daripada hanya kuarantin pelajar kontak rapat di asrama seperti di SSP pada awalnya.

Penutupan sekolah boleh diibaratkan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 'PKP’ di sekolah ini tentunya dapat mengurangkan pergerakan pelajar apabila mereka tidak perlu pergi ke kelas seperti kebiasaan.

Kurang pergerakan bermakna kurang risiko pelajar terdedah kepada jangkitan Covid-19.

SOP jelas dan seragam juga perlu dinyatakan kepada semua SBP, apa perlu dilakukan kepada pelajar yang disahkan positif Covid-19.

Ada sekolah dikatakan terus menghantar pelajar yang positif ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), manakala pelajar positif di SSP difahamkan menjalani kuarantin di sekolah pada peringkat awal.

Bagi penulis, lebih afdal pelajar positif dihantar ke PKRC manakala pelajar kontak rapat diasingkan di pusat kuarantin kerajaan di luar sekolah.

Ia dapat mengurangkan risiko penyebaran kepada pelajar yang sihat.Dengan bertapaknya varian Omicron di negara ini, penularan di sesebuah SBP tidak mustahil akan berlaku dengan lebih cepat.

Sehubungan itu, penting agar SOP yang diguna pakai di semua SBP adalah jelas dan seragam.

* Rosli Hassan ialah Penyunting Sinar Harian