Jangan ambil mudah amaran Agong dalam misi perangi rasuah

Sultan Ibrahim dengan tegas menyatakan bahawa jenayah rasuah mesti dibanteras habis-habisan tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.
Sultan Ibrahim dengan tegas menyatakan bahawa jenayah rasuah mesti dibanteras habis-habisan tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.
A
A
A

BARU-BARU ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dengan tegas menyatakan bahawa jenayah rasuah mesti dibanteras habis-habisan tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.

Baginda juga memberi amaran bahawa lebih ramai individu berada dalam ‘radar’ pemerhatiannya.

Titah baginda lagi, usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik kerana tiada sesiapa pun yang boleh terlepas daripada undang-undang.

Jelas Seri Paduka Baginda, sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

Demikian antara intipati titah baginda susulan isu rasuah yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Dapat dilihat bahawa kenyataan tegas sedemikian bukan titah biasa, malah turut membawa mesej jelas bahawa era toleransi terhadap rasuah dan salah guna kuasa mesti berakhir dengan tuntas.

Penegasan baginda dalam bait ayat ‘lebih ramai berada dalam radar pemerhatian’ dilihat sebagai isyarat institusi tertinggi negara yang mahukan reformasi integriti dilaksanakan secara menyeluruh, bukan bermusim.

Dalam konteks pentadbiran moden, mesej sedemikian memberi tekanan moral dan institusi kepada penjawat awam supaya memperkukuh integriti serta mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

Dalam masa yang sama, ia meningkatkan keyakinan rakyat bahawa usaha membanteras rasuah bukan slogan semata-mata, tetapi agenda nasional yang dipantau di peringkat tertinggi.

Artikel Berkaitan:

Perhatian turut tertumpu kepada peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan utama penguatkuasaan.

Titah diraja yang menegaskan bahawa agensi itu sendiri tidak terkecuali daripada siasatan berhubung dakwaan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan memberi gambaran bahawa ketelusan mesti bermula dari dalam institusi yang bertanggungjawab menegakkan integriti.

Prinsip sebegitu selari dengan tuntutan tadbir urus yang baik yang menekankan pengawasan dalaman sebagai benteng pertama dalam menentang rasuah.

Secara keseluruhannya, amaran tersebut bukan sekadar olok-olok atau peringatan longgar, tetapi satu seruan serius bahawa rasuah ialah musuh kepada kepercayaan rakyat dan kestabilan pentadbiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!