Polis siasat 19 kes ah long di Serdang

Polis Serdang bersama penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya melaksanakan ops turun poster pemberi pinjaman wang tanpa lesen di Pusat Bandar Puchong di sini pada Selasa.
Polis Serdang bersama penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya melaksanakan ops turun poster pemberi pinjaman wang tanpa lesen di Pusat Bandar Puchong di sini pada Selasa.
A
A
A

SERDANG - Polis menyiasat 19 kes sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen di Serdang pada tahun ini yang membawa kepada tindakan pendakwaan terhadap dua individu mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, sebanyak 18 kes disiasat pada tahun lalu dan enam individu didakwa termasuk dua diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Menurutnya, jumlah kerugian melibatkan kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen sejak tahun lalu adalah sebanyak RM114,750.

"Modus operandi sindiket itu adalah menggantung poster di beberapa lokasi tertentu.

"Sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen juga mempamerkan nombor di media sosial untuk dihubungi mangsa," katanya pada sidang akhbar di Pusat Bandar Puchong di sini pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan berkenaan akan menyerahkan dokumen peribadi melalui WhatsApp tanpa bersemuka dan tidak menandatangani dokumen perjanjian.

"Sindiket akan mengenakan kadar faedah tinggi dan kegagalan peminjam untuk membayar balik wang akan menyebabkan berlaku jenayah kekerasan terhadap mangsa dengan melakukan ugutan.

"Sindiket itu turut merosakkan harta benda, menyimbah cat, membakar premis atau kenderaan milik mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anbalagan turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan khidmat pinjaman wang ditawarkan menerusi media sosial dan poster diiklankan.

"Orang ramai boleh membuat pengesahan di laman di ccid.rmp.gov.my/semakmule.

"Selain itu, individu yang mempunyai masalah boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)," katanya.