JAINJ, polis siasat insiden batu nisan ‘hilang’

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat insiden kehilangan batu nisan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Istimewa, Pandan di sini, baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah JAINJ, Jamaludin A Hamid yang turut meminta orang awam agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi dan sebagainya berhubung perkara berkenaan.

“JAINJ mengambil maklum tentang penularan satu tangkap layar yang memaparkan isu kehilangan batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa, Johor Bahru menerusi paparan di media sosial.

“Paparan tersebut telah menimbulkan spekulasi dan kerisauan dalam kalangan waris dan masyarakat mengenai perkara tersebut.

“Oleh itu, JAINJ ingin memaklumkan bahawa tindakan telah diambil dengan kerjasama pihak polis untuk melaksanakan siasatan berhubung perkara berkenaan,” katanya dalam satu satu kenyataan pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam, Taman Istimewa, Pandan di sini, ‘kehilangan’ batu nisan dipercayai dicuri oleh pihak atau individu tidak bertanggungjawab.

Kehilangan batu nisan berkenaan juga dipercayai bagi tujuan jualan oleh pihak atau individu terbabit kerana difahamkan harga batu nisan berkenaan boleh mencecah RM350 hingga RM450 bagi satu set (dua batu nisan), mengikut jenis batu sama ada batu sungai, batu marmar dan lain-lain.

Sementara itu, Jamaludin berkata, JAINJ turut mencadangkan langkah-langkah yang wajar dan perlu ditambah baik serta diselenggara oleh pihak pengurusan tanah perkuburan berkenaan bagi mencegah aktiviti kecurian batu nisan di kawasan terbabit.