Sokong LGBT: Ameerah mahu peruntukan SIS ditarik semula

ZURAIDA MD NOOR
ZURAIDA MD NOOR
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ameerah Terengganu menggesa agar kerajaan menarik balik peruntukan yang diberikan kepada pertubuhan Sisters in Islam (SIS) yang secara jelas menyokong LGBT.

SIS didakwa menyokong penuh perarakan itu yang turut disertai peserta LGBT pada sambutan Hari Wanita di Kuala Lumpur, sehingga mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.

Pengarah Ameerah Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, peruntukan yang diberikan Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh sebanyak RM30,000 kepada pertubuhan liberalisme itu jelas tindakan yang sangat tidak wajar.

Menurutnya, kerajaan PH perlu memandang serius berkenaan isu itu.

"Sambutan Hari Wanita Sedunia yang diadakan oleh segelintir pihak di Kuala Lumpur baru-baru ini telah mempromosikan LGBT sebagai satu entiti yang perlu diluluskan oleh kerajaan Malaysia.

"Tindakan ini telah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh negara ini, Ameerah Terengganu mengecam tindakan ini dan menggesa pihak yang terlibat dikenakan tindakan yang sewajarnya daripada kerajaan," katanya.

Jelasnya, homoseksual di dalam Islam adalah satu jenayah yang melanggar tatasusila kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Kata Zuraida, ALLAH SWT telah menjelaskan tentang liwat dan perlakuan yang berlaku di kalangan umat Nabi Luth AS sebagai perbuatan keji.

Artikel Berkaitan:

"Melihat situasi semasa, peralihan kuasa kerajaan peringkat pusat dan kebanyakan negeri digunakan pejuang LGBT untuk cuba menaikkan status mereka kepada gaya hidup yang 'dihalalkan' sama ada daripada sudut agama, budaya mahupun perundangan.

"Kumpulan LGBT ini bukannya tiba-tiba muncul dalam satu jumlah besar, sebaliknya sudah lama berkembang secara senyap malah dalam sesetengah industri seperti dunia hiburan.

"Kami tidak menghukum golongan ini, tetapi kami ingin mengajak mereka kembali kepada fitrah kejadian yang diciptakan Tuhan yang sempurna pada diri kita, manusia sifatnya mudah lupa, kami hanya ingin kembalikan ingatan mereka agar menyedari kesalahan yang dilakukan," katanya.

Zuraida turut menyeru agar umat Islam negara ini bersama memelihara negara daripada malapetaka ini, sebelum datangnya azab ALLAH SWT seperti tsunami yang pernah menimpa Acheh satu ketika dahulu.

Ia juga katanya, bertepatan dengan kaedah syarak yang menuntut kita menutup pintu kejahatan, sekali gus menepati Maqasid Syariah itu sendiri.