SIS Forum dibenar merayu fatwa diisytiharkan sesat

Permohonan SIS Forum memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan oleh itu, dibenar untuk meneruskan rayuannya.
Permohonan SIS Forum memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan oleh itu, dibenar untuk meneruskan rayuannya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kumpulan hak wanita SIS Forum (Malaysia) pada Isnin memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkannya sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan membenarkan permohonan itu secara sebulat suara.

Dalam penghakiman yang disampaikan secara dalam talian itu, Abang Iskandar berkata, permohonan SIS Forum memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan oleh itu, dibenar untuk meneruskan rayuannya.

Dalam kes sivil, pihak litigan perlu mendapatkan kebenaran sebelum boleh meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan

Dalam notis usul memohon kebenaran itu, SIS Forum telah mengemukakan 10 persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Antaranya sama ada fatwa, yang pernah dikeluarkan dalam Warta di bawah Seksyen 48(6), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, adalah satu bentuk undang-undang subsidiari dan/atau perundangan yang diwakilkan.

Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan SIS Forum dan seorang daripada pengasas bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar untuk membatalkan fatwa itu.

Mahkamah Rayuan memutuskan fatwa yang disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah keputusan muktamad dan dengan itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

Artikel Berkaitan:

SIS Forum dan Zainah merayu kepada Mahkamah Rayuan selepas mereka tidak berjaya dalam usaha mereka di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan fatwa itu. Permohonan semakan kehakiman mereka telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Fatwa itu, yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014, telah mengisytiharkan bahawa SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili SIS Forum manakala Aidil Khalid hadir bagi pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Yusfarizal Yussoff mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan penasihat undang-undang negeri Khairul Nizam Abu Bakar hadir bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

SIS Forum ke Mahkamah Persekutuan untuk batal fatwa

Permohonan kebenaran merayu SIS Forum 21 Ogos ini