Tiada kompromi LGBT di Malaysia

Kerajaan perlu bertegas dengan tidak memberi ruang kompromi kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk melakukan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam serta norma masyarakat atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. - Gambar hiasan
Kerajaan perlu bertegas dengan tidak memberi ruang kompromi kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk melakukan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam serta norma masyarakat atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. - Gambar hiasan
A
A
A

KERAJAAN perlu bertegas dengan tidak memberi ruang kompromi kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk melakukan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam serta norma masyarakat atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.

Ini kerana sebagai sebuah negara Islam, gaya hidup luar tabii itu adalah satu isu sensitif yang bertentangan dengan akidah dan akhlak, selain Perlembagaan Persekutuan tidak pernah mengiktiraf atau cuba mengiktiraf kelompok berkenaan.

Jika diberi ruang, kumpulan itu akhirnya boleh mencemarkan prinsip Rukun Negara, bukan sahaja kepercayaan kepada Tuhan, bahkan mencemar segenap nilai Rukun Negara.

Oleh itu, penguatkuasaan tegas perlu diambil terhadap pihak menyalahgunakan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak kebebasan bersuara dan berhimpun bagi mengangkat agenda LGBT di bawah peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan).

Perkembangan yang berlaku dalam negara beberapa tahun kebelakangan ini sangat merisaukan, melihat kepada tindakan sesetengah pihak secara konsisten memperjuangkan hak dan kesamarataan golongan LGBT untuk mengikis sensitiviti masyarakat.

Terbaharu, tindakan aktivis pro-LGBT berhimpun di hadapan pusat beli-belah Sogo di ibu negara pada Sabtu lalu mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Mereka yang menyertai perhimpunan itu semakin berani dan seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila turut melaungkan 'down syariah court' sambil memegang kain rentang. Amalan LGBT adalah satu kesalahan sebagaimana termaktub dalam Seksyen 377 Kanun Keseksaan (Akta 574) berkaitan jenayah seksual luar tabii.

Malah, ia juga perbuatan kesalahan jenayah di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri selaras dengan ketetapan syariat Islam.

Apa pun, masalah berkait dengan LGBT sememangnya perlu dibendung secara agresif kerana risiko untuk ia menular secara kritikal sangat tinggi.

Dalam era globalisasi dan media sosial kini, masyarakat sangat mudah terpengaruh dengan setiap apa yang dipapar dan dipertontonkan kepada mereka tanpa menilai kesan baik serta buruk.

Walaupun terdapat pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh pihak-pihak yang diberikan tanggungjawab untuk menangani isu LGBT, namun segalanya perlu ditempuh dengan bijaksana agar kegiatan tidak bermoral itu dapat dikekang secara holistik.