Warga asing guna bas Smart Selangor akan dikenakan caj

No Image Caption
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Kerajaan Selangor membuat kajian mengenalpasti mekanisme terbaik untuk mengenakan caj kepada warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas Smart Selangor.

Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kajian itu dibuat selepas Kerajaan Selangor menerima banyak aduan mengenai segelintir warga asing yang mengambil kesempatan menggunakan perkhidmatan bas percuma itu.

Beliau berkata, hasil kajian itu dijangka akan diketahui dan diumumkan selewat-lewatnya tahun hadapan.

"Kita sedang kenal pasti mekanisme terbaik untuk kenakan caj sama ada melalui tunai atau pun cashless dan kadar yang akan dikenakan juga masih dalam peringkat kajian," katanya selepas Majlis Perasmian Perkhidmatan Bas Smart Selangor bagi laluan Baru SJ05 hari ini.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata warga tempatan dan asing yang menggunakan perkhidmatan bas Smart Selangor akan dikenalpasti melalui kad pengenalan atau pasport bagi membolehkan caj dikenakan kepada pihak terlibat.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyedari hakikat bahawa kebanyakan pelajar tidak membawa kad pengenalan sewaktu ke sekolah dan satu kajian juga akan dilaksanakan mengenai perkara itu.

"Tahap kesedaran di kalangan masyarakat juga perlu ditingkatkan bagi memastikan inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Selangor mencapai matlamat," katanya.

Dalam pada itu, Sze Han berkata, Kerajaan Selangor juga mempunyai perancangan untuk menukarkan bas Smart Selangor di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) ke bas mini bagi membuka lebih banyak laluan buat penumpang di sana.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah penumpang di kawasan berkenaan agak rendah, bagaimanapun perkhidmatan itu masih diperlukan berikutan populasi penduduk di kawasan terlibat agak tinggi.

"Jadi untuk memastikan pelaksanaannya efektif, Kerajaan Selangor akan guna bas mini yang lebih kos rendah dan efektif di kawasan berkenaan.

"Buat masa ini juga, Kerajaan Selangor tidak akan menambah laluan baharu berikutan tiada bajet tambahan bagi tahun ini," katanya.