Wanita dicekup tanpa pakaian bersama lelaki di hotel

Suspek yang berusia 20-an bekerja dan menetap di Johor Bahru.
Suspek yang berusia 20-an bekerja dan menetap di Johor Bahru.
A
A
A

PONTIAN – Sepasang lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an yang memberi alasan tidak sempat pulang ke Johor Bahru kerana sudah lewat malam ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di sebuah hotel di sini.

JAINJ dalam kenyataannya berkata, pasangan itu ditahan dalam operasi pemeriksaan berkala dan secara rambang yang dijalankan penguat kuasa kira-kira jam 12.30 malam.

Menurutnya, operasi berkenaan bukan dijalankan hasil aduan orang awam semata-mata, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pemeriksaan berkala yang dilakukan.

"Ketika tiba di hadapan bilik hotel, penguat kuasa mengetuk pintu beberapa kali namun tiada sebarang jawapan. Pintu hanya dibuka kira-kira lapan minit kemudian oleh seorang lelaki yang hanya memakai seluar pendek.

"Selepas memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa, penguat kuasa memasuki bilik untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

"Keadaan bilik ketika itu gelap sebelum semua lampu dinyalakan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui seorang wanita sedang berbaring di atas katil dan diselubungi selimut.

"Seorang anggota penguat kuasa wanita kemudian menjalankan pemeriksaan dan mendapati wanita terbabit berada dalam keadaan tidak berpakaian sebelum diarahkan memakai pakaian lengkap di dalam tandas.

"Hasil soal siasat mendapati pasangan itu bukan suami isteri dan tidak mempunyai sebarang hubungan mahram. Lelaki terbabit pada mulanya memaklumkan wanita itu adalah rakannya sebelum mengesahkan mereka hanya berkawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, kedua-dua mereka berusia lingkungan 20-an, bujang, bekerja dan menetap di Johor Bahru.

"Mereka mengaku datang bersama-sama menaiki kereta lelaki itu dan mendaftar masuk ke hotel berkenaan kira-kira jam 9 malam, manakala bayaran sewa bilik dibuat sepenuhnya oleh lelaki terbabit.

"Ketika disoal siasat, mereka mendakwa hanya berehat dan tidur di bilik hotel serta tidak melakukan sebarang perbuatan tidak bermoral.

"Mereka turut memberi alasan tidak sempat pulang ke Johor Bahru kerana hari sudah lewat malam," katanya.

Jelasnya, pasangan terbabit kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!