Hasrat pesara bertanding di DUN Sikamat tidak kesampaian

SEREMBAN - Hasrat pesara kerajaan, Bujang Abu untuk bertanding sebagai calon bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak kesampaian selepas dokumen diperlukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lengkap.
Bujang, 75, berkata, beliau terpaksa menarik diri pada saat akhir selepas dimaklumkan dirinya gagal mengemukakan dokumen berkaitan penyata perbelanjaan pilihan raya terdahulu kepada SPR.
Warga emas itu bagaimanapun mengakui ia berpunca daripada kesilapannya sendiri kerana tidak melengkapkan dokumen tersebut sebelum hadir ke proses penamaan calon.
"Semasa penamaan calon, saya dimaklumkan tidak menghantar penyata perbelanjaan ketika PRN 2023. Sepatutnya selepas PRN, saya perlu hantar penyata itu kepada SPR.
"Selepas melakukan semakan dengan SPR, saya berpuas hati kerana ia memang salah saya. Walaupun sedikit kecewa, saya terima,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Wisma Majlis Bandaraya Seremban pada Sabtu.
Bujang yang kini banyak meluangkan masa bermain muzik jalanan bagi menjana pendapatan sampingan berkata, akan mencuba sekali lagi pada pilihan raya akan datang.
Warga emas itu bertanding di DUN Sikamat namun tewas pada pilihan raya 2013 dan 2023.
Pada PRN kali ini, DUN Sikamat menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Nor Azman Mohamad mewakili Pakatan Harapan (PH), Datuk Razali Abu Samah (Perikatan Nasional) dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz (Bersatu).
DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada 5 Jun dan SPR menetapkan 28 Julai sebagai hari pengundian awal manakala 1 Ogos sebagai hari mengundi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
