Dua mangsa kepala air disemadikan dalam satu liang lahad

Dua mangsa tragedi kepala air di pusat peranginan Sungai Sedim, Kulim selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Palas, Jitra pada petang Sabtu. Foto: Team Bantuan Sungai Petani
Dua mangsa tragedi kepala air di pusat peranginan Sungai Sedim, Kulim selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Palas, Jitra pada petang Sabtu. Foto: Team Bantuan Sungai Petani
A
A
A

JITRA – Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Palas di sini apabila jenazah dua mangsa tragedi kepala air di pusat peranginan Sungai Sedim, Kulim selamat disemadikan dalam satu liang lahad pada petang Sabtu.

Jenazah Nur Atikah Abdullah, 28, dan sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md Radzi, 3, dikebumikan kira-kira jam 5.30 petang dengan diiringi ahli keluarga serta sanak saudara.

Terdahulu, kedua-dua jenazah dibawa ke Surau Kampung Palas sebaik selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum disolatkan.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua mangsa.

Suasana hiba jelas kelihatan apabila ahli keluarga mengiringi jenazah ke tanah perkuburan untuk dikebumikan dalam satu liang lahad.

Ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua mangsa.
Ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua mangsa.

Media sebelum ini melaporkan tiga mangsa maut selepas dihanyutkan arus deras ketika fenomena kepala air melanda pusat peranginan Sungai Sedim pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dipercayai sedang berkelah bersama ahli keluarga sebelum dihanyutkan arus deras yang melanda kawasan rekreasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Nur Atikah dilaporkan datang ke Sungai Sedim bersama kira-kira 15 ahli keluarganya termasuk ibu bapa bagi meluangkan masa bersama.

Lebih memilukan, wanita itu dikatakan sempat meraikan ulang tahun kelahiran anak tunggalnya, Nur Atiya Sofiya Shazwan, 7, sebelum tragedi meragut nyawanya.

Selain Nur Atikah dan Muhammad Aariz Daniel, seorang lagi mangsa, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12, turut terkorban dalam tragedi tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!