Hadiah wang tunai RM7,000, telefon 5G antara tarikan Riuh Bola Sinar x redONE Mobile

SHAH ALAM - Hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM7,000, telefon 5G, makanan serta barangan eksklusif percuma antara tarikan yang menanti pengunjung pada program Riuh Bola Sinar x redONE Mobile: World Cup Final Live Viewing Party yang berlangsung pada 19 hingga 20 Julai ini.
Program hasil kerjasama redONE Mobile dan Sinar Harian di Restoran Hakim, Seksyen 7 itu membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir kejohanan bola sepak berprestij dunia menerusi skrin besar dalam suasana komuniti yang meriah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan redONE Mobile, Farid Yunus berkata, program tersebut dianjurkan bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati detik kemuncak kejohanan bola sepak berprestij dunia bersama keluarga serta rakan-rakan.
"Perlawanan akhir kejohanan bola sepak berprestij dunia sentiasa menjadi acara yang menyatukan orang ramai, kami mahu menjadi sebahagian daripada kenangan yang tercipta pada malam bersejarah itu.
"Bersama Sinar Harian, kami membuka ruang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menikmati pengalaman ini bersama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, setiap pengunjung diharap pulang bukan sahaja dengan hadiah atau makanan percuma, tetapi dengan kenangan indah kerana dapat meluangkan masa berkualiti bersama.
"Riuh Bola Sinar x redONE Mobile mencerminkan komitmen syarikat untuk terus mendekati masyarakat menerusi pengalaman yang inklusif selain menghubungkan komuniti melalui pelbagai aktiviti.
"Selain tayangan secara langsung perlawanan akhir, pengunjung turut berpeluang mengikuti sesi bual bicara Sports Matters yang menghimpunkan barisan pengulas dan pemerhati bola sepak bagi mengupas aksi kemuncak kejohanan serta perkembangan sukan itu," katanya.
Menurutnya, pengunjung juga boleh menyertai sesi santai Teh Tarik Bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi selain beramah mesra dengan wakil Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN Selangor) dan pemain Selangor FC Bawah 23 Tahun.
"Bagi mereka yang gemarkan cabaran, kami turut membawakan pelbagai permainan interaktif bertemakan bola sepak seperti Gelecek Bola Mantap redONE Mobile, Gol Celebration Juara redONE Mobile, Ulasan Bola PRO redONE Mobile, Teka Skor redONE Mobile dan Smart Striker-Lympic redONE Mobile dengan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan RM7,000.
"Dalam semangat berkongsi kegembiraan bersama komuniti, kami juga membawakan pempengaruh TikTok popular Anas Harif Haikal (Tokok), Qiffy, Maneh Colek dan Afina untuk mengagihkan makanan serta minuman viral secara percuma kepada pengunjung," katanya.
Tambah beliau, pengunjung turut berpeluang memenangi telefon 5G, barangan eksklusif Riuh Bola redONE Mobile serta pelbagai hadiah menarik menerusi aktiviti Imbas dan Menang.
"Pasukan redONE Mobile juga akan berada di lokasi bagi berkongsi maklumat mengenai pelan, perkhidmatan dan promosi terkini.
"Masa sama, pelanggan baharu yang melanggan pelan redONE Mobile sepanjang program berlangsung akan menerima hadiah eksklusif sebagai penghargaan," katanya.
Farid berkata, redONE Mobile akan terus membawakan lebih banyak inisiatif yang membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk berkumpul, berinteraksi dan berkongsi detik-detik bermakna bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

