Air Selangor raih dua anugerah serantau, perkukuh pengurusan risiko

KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan air terbesar negara apabila meraih dua pengiktirafan berprestij semasa pelaksanaan latihan simulasi krisis perintis di peringkat nasional hasil kecemerlangan dalam pengurusan risiko, tadbir urus dan kelestarian.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, pengurusan risiko dan kelestarian bukan sekadar matlamat sampingan, sebaliknya merupakan asas kepada mandat sebagai pengendali infrastruktur kritikal kepada lebih 9.6 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Beliau berkata, pengiktirafan menerusi ASEAN Risk Awards (ARA) 2026 dan Global ESG and Sustainability Awards 2026 mencerminkan profesionalisme dan dedikasi seluruh warga Air Selangor dalam menerapkan budaya berdaya tahan kepada risiko merentasi kesemua bahagian.
“Pada masa yang sama, penanda aras kami untuk simulasi krisis yang dilaksanakan di Empangan Sungai Langat membuktikan bahawa kami sentiasa menguji keberkesanan strategi secara praktikal di lapangan.
"Dengan memperkukuh Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCM) dan keupayaan tindak balas kecemasan bersama rakan strategik dan pihak berkepentingan, kami dapat memastikan kesinambungan sepenuhnya perkhidmatan bekalan air selamat serta boleh dipercayai, di samping melindungi komuniti serta menyokong agenda kesiapsiagaan negara menghadapi bencana," katanya.

Air Selangor menerima Public Initiative Award pada ASEAN Risk Awards 2026 di Manila, Filipina yang mengiktiraf organisasi di Asia Tenggara atas sumbangan kepada kesejahteraan masyarakat melalui pengurusan risiko yang bertanggungjawab, tadbir urus proaktif dan penyampaian perkhidmatan awam yang mampan.
Syarikat itu turut menerima pengiktirafan pada Global ESG and Sustainability Awards 2026 menerusi kategori ESG Leadership Award for Organisations, manakala Ketua Seksyen Kelestarian dan Pemuliharaan Air, Shamala Mary Arokiasamy menerima Innovation in ESG Award for Individual.
Sementara itu, Ketua Pengurusan Risiko Air Selangor, Thavendran Loganathan berkata, pengurusan risiko, kelestarian dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kini menjadi sebahagian daripada budaya kerja syarikat dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana, Air Selangor turut menganjurkan Eksperimen Simulasi Krisis Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCM), Pelan Tindakan Kecemasan (EAP) dan Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP) berskala penuh yang pertama di Malaysia di Empangan Sungai Langat.

Latihan itu menjadi simulasi kecemasan empangan pelbagai agensi pertama di Selangor dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat dan beberapa agensi berkaitan.
Latihan tersebut dilaksanakan selaras dengan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) No. 1 bagi menguji struktur arahan, protokol komunikasi awam dan tahap koordinasi antara agensi dalam menghadapi situasi kecemasan.
Melalui pengiktirafan dan inisiatif berkenaan, Air Selangor bertekad untuk terus memperkukuh amalan pengurusan risiko serta kelestarian demi memastikan bekalan air yang berkualiti, berdaya tahan dan mampan kepada pengguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

