SRAM siap sedia anjur 'Pesta Skuasy'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah hampir dua tahun tanpa kejohanan antarabangsa berikutan pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan, Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) bersedia menganjurkan tiga kejohanan utama berturut-turut dalam sebulan.

Presiden SRAM, Gerard Monteiro berkata, ‘pesta skuasy’ di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil bermula dengan kejohanan Terbuka Malaysia pada 23 hingga 27 November, diikuti Kejohanan Berpasukan Asia pada 30 November hingga 4 Disember dan Kejohanan Berpasukan Lelaki Dunia pada 7 hingga 11 Disember.

Kejohanan kali ini adalah acara sukan pertama menerima kehadiran pemain dari luar negara sejak pandemik Covid-19 melanda awal tahun 2020.

Bagi kejohanan Terbuka Malaysia edisi ke-40 yang dinaik taraf kepada status gangsa dalam Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA), menyaksikan 16 pemain lelaki dan 15 wanita dalam kedudukan 40 terbaik dunia akan bersaing merebut hadiah wang tunai berjumlah AS$50,000 (kira-kira RM200,000).

“Mendahului senarai pemain lelaki adalah pemain di ranking ke-11 dunia dari Colombia, Miguel Rodriguez diletakkan sebagai pilihan utama, diikuti juara perseorangan Asia dari India Saurav Ghosal dan pemain nombor satu negara yang juga juara bertahan Ng Eain Yow (kali terakhir kejohanan diadakan pada tahun 2019).

“Selain Eain Yow, skuad negara turut diwakili Ivan Yuen, Muhammad Addeen Idrakie dan Darren Rahul Pragasam, manakala bagi kategori wanita pula, pemain nombor satu negara, S Sivasangari diletakkan sebagai pilihan ke-13,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Gerard berkata, ketiga-tiga kejohanan berkenaan dianjurkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), yang mana kesemua pemain perlu menjalani ujian saringan Covid-19 setibanya di negara ini.

“Kami juga bersedia untuk menerima kehadiran penonton yang dihadkan 50 peratus keluasan venue pertandingan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengarah kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam berkata, barisan pemain negara yang baru menjalani sesi latihan intensif serta latihan pendedahan di Amerika Syarikat dan United Kingdom sudah bersedia untuk menghadapi cabaran lawan.

“Kami menyasarkan pemain lelaki dan wanita mampu mara ke final dan berharap peminat akan terus memberikan sokongan kepada pemain,” katanya. - Bernama