Sabah perlu perakuan Filipina untuk hantar PATI ke negara asal

Hajiji pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Gereja Saint Augustine's Kinarut di Papar.
Hajiji pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Gereja Saint Augustine's Kinarut di Papar.
A
A
A

PAPAR - Kerajaan Sabah memerlukan dokumen perakuan daripada kerajaan Filipina untuk urusan penghantaran semula tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perbincangan dengan kerajaan Filipina setakat ini masih berjalan supaya negara itu dapat menerima semula rakyat mereka yang ditahan di negeri ini.

"Masalah kelewatan ini adalah kerana kerajaan Filipina tidak memberi dokumen untuk memudahkan perjalanan pulang tahanan PATI.

"Jadi kita kena tunggu, selagi tidak ada satu dokumen perakuan daripada kerajaan Filipina berhubung dengan tahanan ini maka timbul kelambatan seperti yang kita nampak berlaku ketika ini," katanya padasidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Gereja Saint Augustine's Kinarut di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perbincangan dengan kerajaan Filipina mengenai isu penghantaran semula tahanan PATI ke negara asal mereka.

Sehubungan itu, Hajiji berharap kerajaan Filipina dapat memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha memudahkan penghantaran semula tahanan PATI ke negara itu.

"Harapan kita supaya kerajaan Filipina memberi kerjasama sepenuhnya terutama berkaitan dengan rakyat mereka yang telah ditahan di sini dan tidak mempunyai dokumen agar memudahkan penghantaran balik rakyat mereka atau PATI.

"Jika ini dapat diproses cepat, maka kita akan hantar mereka ke negara asal dengan cepat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, berlaku rusuhan PATI di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di negeri ini akibat tidak berpuas hati kerana proses penghantaran pulang ke negara asal mereka tertangguh.

Terbaharu, pada Rabu lalu, turut berlaku kejadian membabitkan 14 tahanan warga Filipina yang bertindak melarikan diri daripada PTS terbabit ketika mereka dalam proses pengusiran di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kimanis.