5,658 kes perceraian difailkan di Sarawak sepanjang PKP

Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 5,658 kes perceraian telah difailkan di Sarawak dari Mac tahun lalu hingga September tahun ini, iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,582 kes perceraian pasangan Islam, manakala selebihnya membabitkan pasangan bukan Islam.

“Berdasarkan statistik Talian Kasih 15999, sebanyak 31 aduan telah diterima berkaitan keganasan rumah tangga dari tahun 2020 hingga September 2021 bagi negeri Sarawak.

“Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan sebanyak 1,017 kes telah dilaporkan dari tahun 2020 hingga Julai 2021 di Sarawak,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang mahu kementeriannya menyatakan statistik kes keganasan domestik dan kes perceraian yang dilaporkan di Sarawak sepanjang tempoh PKP.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga di samping menangani isu keganasan rumah tangga.

Katanya, antara inisiatif yang diambil adalah menubuhkan Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga untuk memastikan keberkesanan gerak kerja dan pengendalian kes keganasan rumah tangga.

“Selain itu, KPWKM turut mewujudkan Pusat Transit Sementara di masjid bagi mangsa keganasan rumah tangga. KPWKM sedang dalam perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Negeri bagi mewujudkan Pusat Transit Sementara di masjid di seluruh negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, inisiatif lain yang turut diambil adalah dengan mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Bergerak.