Ahmad Fadhli dipilih Ketua Pemuda Pas baharu

Barisan kepimpinan Pemuda Pas sesi 2021-2023 ketika muktamar yang diadakan di sebuah hotel di Port Dickson pada Ahad.
Barisan kepimpinan Pemuda Pas sesi 2021-2023 ketika muktamar yang diadakan di sebuah hotel di Port Dickson pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dipilih sebagai Ketua Pemuda Pas baharu bagi penggal 2021-2023.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pada muktamar yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Seramai 636 perwakilan daripada 708 perwakilan yang mengundi pada muktamar kali ini.

Ahmad Fadhli yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pemuda menang dengan majoriti 508 undi daripada 636 undi perwakilan yang mengundi, menewaskan pencabarnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahya yang memperoleh 128 undi.

Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang dahulunya Naib Ketua Pemuda pula menang sebagai Timbalan Ketua Pemuda.

Beliau yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah menewaskan pencabarnya, Farkhan Md Zain yang merupakan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan dengan 489 undi.

No Image Caption

Selain itu, Naib Ketua Pemuda, Hanapi Zulkafli yang merupakan bekas Ketua Pemuda Pas Selangor menggantikan Afnan Hamimi yang dahulunya memegang jawatan itu dengan 473 undi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Fadhli melahirkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui sayap kepimpinan pemuda khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Ini membuktikan pemilihan parti boleh dilaksanakan walaupun kita berdepan pilihan raya.

"Ia juga sekali gus membuktikan Pas adalah parti yang matang dan tak terpengaruh dengan apa juga isu atau kepentingan, walaupun ketika ini kita berdepan pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, Pemuda Pas akan terus memperkasakan idea kepimpinan Pas Pusat melalui Presiden parti iaitu memperkasakan Muafakat Nasional (MN), serta mempertahankan MN dan Perikatan Nasional (PN).