'Pilih tema bersifat tengah' - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) berhubung penggunaan logo dan tema alternatif itu lahir apabila melihat kerajaan pusat telah mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan yang secara terang-terangan berbaur politik kepartian.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia berikutan tema Hari Kebangsaan yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ mempunyai perkataan yang diulang-ulang semasa kempen politik.

“Sudah jelas sekali perkataan Madani, perpaduan dan juga harapan adalah perkataan yang diulang-ulang semasa kempen politik terutamanya dalam pilihan raya negeri (PRN) yang lepas.

“Walaupun perkataan itu satu perkataan yang baik tetapi ia telah dipolitikkan dalam kempen politik kepartian. Justeru, kalau hendak satukan rakyat di bawah satu tema, pilih tema yang lebih bersifat tengah,” katanya menerusi perkongsian video di siaran Facebook beliau pada Ahad.

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi memberi respon mengenai kenyataan Ahmad Fadhli berhubung isu berkenaan dengan berkata, bahawa perkara patriotik seperti berkaitan logo dan tema Hari Kebangsaan tidak harus dipolitikkan.

Media melaporkan Ahmad Fadhli berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah PN berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN pada Sabtu iaitu "Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera” dan logo dengan elemen bunga raya.

Pada Mei lepas, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 ialah "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

Dalam pada itu, ujar Ahmad Fadhli, tema dan logo yang diperkenalkan oleh PN lebih bersifat tengah dan tidak merangkumi perkataan yang diulang-ulang semasa kempen.

Artikel Berkaitan:

“Kami tidak mencadangkan menggunakan perkataan ‘bersih’ atau ‘stabil’ walaupun kedua-dua itu adalah perkataan yang baik tetapi itu telah kami gunakan di dalam kempen pilihan rakyat.

“Jadi, kalau nak satukan rakyat, pilih perkataan yang lebih bersifat tengah supaya semua rakyat di pelbagai fahaman politik boleh menerima.

“Kalau nak memperkenalkan slogan politik, ya kami akan memperkenalkan tema alternatif,” menurutnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tema Hari Kebangsaan berbeza bersifat politik - Adam Adli

Perlis cuma tolak logo, tiada masalah ikut tema Hari Kebangsaan

Siasat Ketua Pemuda PN lancar logo, tema Hari Kebangsaan berbeza - Amanah

Jangan politikkan tema, logo Hari Kebangsaan - Ahmad Zahid

Tema Hari Kebangsaan ajak rakyat kukuhkan perpaduan, bersatu hadapi cabaran

Hari Kebangsaan: Cadang guna tema, logo berbeza khianati prinsip federalisme

Hari Kebangsaan sambutan negara, tidak patut ada perbezaan - Fahmi

Guna logo, tema berbeza bawa perpecahan lebih besar - Ahmad Maslan

AMK gesa Pemuda PN batal hasrat guna logo, tema berbeza