Ahmad Nazim dilantik pengarah LTAT, Irfan pengarah gantian baharu

Ahmad Nazim dan Irfan Hashim
Ahmad Nazim dan Irfan Hashim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) pada Selasa mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) manakala Irfan Hashim selaku pengarah gantian, berkuat kuasa 12 Oktober 2021.

Menurut kenyataan BHIC, Ahmad Nazim, 46, membawa bersama pengalaman luas di peringkat pengurusan kanan dalam sektor korporat termasuk ketua pegawai eksekutif Pelaburan Mara Bhd pada 2013 hingga 2018, pengarah National Bank of Abu Dhabi di Abu Dhabi serta di Kuala Lumpur (2009-2012), rakan sekutu di Norton Rose Fullbright LLP di London (2012-2013) serta rakan sekutu kanan di Suruhanjaya Sekuriti (2001-2008).

Beliau kini merupakan ahli Suruhanjaya Tenaga merangkap pengerusi Jawatankuasa Ekonomi suruhanjaya tersebut, ahli lembaga Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, pengarah Omnesti Bhd serta firma Singapura, Regulus Advisors Pte Ltd.

“Adalah menjadi harapan BHIC untuk melihat pengalaman luas mereka berdua dapat membantu mengemudi syarikat ini sebagai organisasi berprestasi tinggi, sejajar dengan strategi ‘Reinventing Boustead’ bagi memperkukuh kedudukan Kumpulan Boustead ke arah pertumbuhan mampan,” kata BHIC.

Menurut syarikat itu, Ahmad Nazim berkelulusan Sarjana Ekonomi dan Dasar Awam dari Institut d’Etudes Politiques de Paris (Sciences Po) di Perancis, Sarjana Undang-Undang serta pemegang J William Fullbright Universiti Georgetown University, Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Irfan, 38, berkelulusan bidang kejuruteraan tetapi berpengalaman dalam kewangan korporat dengan pendedahan luas meliputi pelaburan ekuiti swasta dan kini bertugas sebagai ketua kewangan korporat LTAT serta pernah menyandang jawatan sebagai naib presiden, ekuiti swasta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) pada 2015-2019.

“Beliau juga pernah berkhidmat di jabatan kewangan korporat Permodalan Nasional Bhd dari 2006 hingga 2014,” katanya.

Irfan adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (BEng) dalam Kejuruteraan Elektrik (Kepujian Kelas Pertama) University of Southampton, United Kingdom pada 2006 dan pemegang Penganalisis Kewangan Bertauliah sejak 2010. - Bernama

Artikel Berkaitan: