Hasrat hati Salwa Abd Rahman, Subadron di Tanah Suci

Subadron (tiga dari kiri) dan Salwa (empat dari kiri) bergambar bersama jemaah haji dari Sarawak ketika ditemui di Makkah.
Subadron (tiga dari kiri) dan Salwa (empat dari kiri) bergambar bersama jemaah haji dari Sarawak ketika ditemui di Makkah.
A
A
A

MAKKAH - Bagi penyanyi Datin Salwa Abdul Rahman, 58, kehadiran ke Tanah Suci kali ini amat bermakna kerana hajat untuk datang bersama-sama suaminya, Datuk Subadron Abd Aziz akhirnya tercapai.

Artis yang popular pada tahun 80an itu berkata, sebelum ini suaminya tidak pernah menunaikan umrah dan menyimpan hasrat untuk terus menunaikan haji apabila menjejakkan kaki ke Makkah.

"Syukur Alhamdulillah kerana dapat sambut ulang tahun perkahwinan ke-36 di bumi Makkah ini dengan suami di sisi. Ini adalah pengalaman paling manis dalam hidup kami.

"Hadir sebagai jemaah haji muassasah juga adalah pengalaman berharga dan berharap supaya mendapat haji yang mabrur," katanya kepada pemberita di sini.

Subadron ketika ditanya perasaan apabila terpilih pada tahun ini pula amat bersyukur kerana sebelum ini tidak berkesempatan ke Tanah Suci kerana fokusnya terhadap bola sepak.

Bekas pemain kebangsaan dan pernah mewakili pasukan Kuala Lumpur itu juga berharap dipermudahkan urusan sepanjang melakukan ibadah di sini.

Kata Subadron, di bumi yang barokah ini dia memohon agar projek pembinaan Kompleks Sukan Mini Dato Subadron Aziz di Sungai Chincin, Gombak, Selangor berjaya direalisasikan.

"Cita-cita saya nak buka sekolah tahfiz tapi sebagai bekas pemain bola agak sukar terlibat dan dapat kerjasama, jadi impian saya kompleks itu kelak akan dapat bantu ramai anak muda berjaya dalam bola sepak," katanya.

Ujarnya, ketika ini terdapat seramai 300 pemain yang bernaung di bawah Akademi Bola Sepak Subadron dengan penekanan turut diberikan dalam aspek pembinaan akhlak untuk menjadi Muslim yang taat perintah ALLAH.

"Budak-budak yang tercicir tiada siapa yang tolong atau pantau. Jadi apabila kita masukkan dalam akademi boleh gilap mereka main di peringkat negeri dan tahap lebih tinggi," katanya.

Pada 18 November tahun lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan kompleks berkenaan.

Ia akan dibina di atas tanah milik Subadron dengan sokongan kerajaan negeri dan Pertubuhan Pewaris Anak-anak Melayu Gombak (Pewarga).

Buat permulaan dua padang bola dan sebuah bangunan pentadbiran akan dibina yang menelan belanja kira-kira RM6 juta dan dijangka siap dalam masa dua tahun.