Penduduk bantah bina asrama pekerja warga asing

Kira-kira 30 orang penduduk mengadakan bantahan aman bagi menggesa kerajaan negeri membatalkan cadangan pembinaan tiga asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar.
Kira-kira 30 orang penduduk mengadakan bantahan aman bagi menggesa kerajaan negeri membatalkan cadangan pembinaan tiga asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Penduduk di sekitar Bayan Lepas, di sini membantah cadangan pembinaan tiga projek asrama pekerja warga asing yang ingin dibangunkan di Teluk Kumbar di sini tidak lama lagi oleh pihak swasta.

Mereka mendakwa projek penempatan asrama pekerja warga asing itu hanya akan mengundang mudarat dan pelbagai masalah pada masa akan datang selain bakal menjejaskan kualiti hidup mereka sebagai penduduk tempatan.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Batu, Mohd Sobri Hamid berkata, pihaknya difahamkan tiga asrama yang akan dibina itu boleh menempatkan kira-kira 40,000 pekerja warga asing dan beberapa kawasan di Teluk Kumbar telah dikenal pasti untuk tujuan pembangunan projek berkenaan.

Menurut beliau, pelaksanaan untuk merealisasikan projek itu telah pun bermula apabila MPKK sebelum ini telah dipanggil untuk turut serta dalam mesyuarat secara atas talian dan dimaklumkan mengenai cadangan projek itu.

"Bagi kami, cadangan ini amat berat dan tidak sesuai dibuat di sini kerana akan mengundang pelbagai masalah selain memberi impak sosial, risiko keselamatan dan kesihatan penduduk tempatan.

"Pelaksanaan projek ini juga dikhuatiri akan menyebabkan bencana banjir, kesesakan lalu lintas dan yang paling penting ialah keselesaan daya huni seperti yang di gagaskan dalam PENANG 2030 tidak akan tercapai,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Sebelum itu, Mohd Sobri bersama kira-kira 30 penduduk tempatan mengadakan bantahan aman bagi menggesa kerajaan negeri supaya menolak sebarang cadangan atau pelan pembangunan asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar.

Turut berkongsi pendapat sama, Pengerusi MPKK Taman Perda, Safar Said yang mahukan projek berkenaan dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai dan bukannya di sekitar Teluk Kumbar.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sekiranya projek yang dibangunkan dalam jarak lima kilometer itu menjadi kenyataan dengan menempatkan 40,000 pekerja warga asing ia sekali gus akan mengubah landskap dan suasana kawasan Teluk Kumbar menjadi bandar warga asing.

"Cuba bayangkan bagaimana kami nak jalani kehidupan harian dalam suasana warga asing lebih ramai daripada penduduk tempatan.

"Sekian lama kami hidup dalam suasana harmoni dan selesa di sini namun suatu hari nanti semuanya akan berubah malah kualiti hidup kami akan terjejas disebabkan tidak selesa dengan kebanjiran warga asing. Kami merayu agar kerajaan negeri menolak rancangan pembinaan tersebut demi keselesaan dan keharmonian rakyat,"katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz ketika dihubungi berkata, bantahan mengenai cadangan projek itu telah dibawa kepada kerajaan negeri melalui sidang DUN lalu selain disusuli dengan surat bantahan yang dihantar kepada Ketua Menteri dan Exco Kerajaan Tempatan.

"Saya faham hasrat kerajaan negeri mahu merancakkan sektor perkilangan dalam masa yang sama perlu mematuhi akta kediaman pekerja asing yang telah dikuatkuasakan.

"Saya amat setuju dengan hasrat itu tetapi projek ini tidak sesuai dibangunkan di kawasan yang telah dicadangkan kerana lokasi ini amat tidak sesuai kerana akan mengganggu keharmonian penduduk tempatan," katanya.

Azrul berpendapat, projek asrama pekerja warga asing itu boleh dibangunkan di kawasan tanah besar yang tidak mempunyai penempatan penduduk lagi apatah lagi melibatkan kawasan penduduk kampung.

Jelas beliau, jika projek itu diteruskan identiti Teluk Kumbar akan hilang dan akan dikenali sebagai kawasan mega penempatan warga asing.

"Kita bimbang nanti nilai hartanah di sini akan merudum, ekonomi penduduk setempat nanti akan dikuasai oleh warga asing yang sudah tentu akan mencari peluang perniagaan sesuai dengan rakan senegara mereka.

"Walaupun penempatan asrama pekerja itu dibuat dalam kawasan berpagar dan segala kemudahan mereka akan berada di dalam kawasan berkenaan namun mustahil mereka tidak keluar dari kediaman mereka dan banyak faktor kepentingan awam yang kita perlu fikirkan sebelum projek ini dijalankan," luah beliau.

Tegas beliau, rakyat tempatan juga berhak untuk menyatakan bantahan kerana melibatkan gangguan kepada suasana kehidupan mereka.

Katanya, kini pihak masjid dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sedang mengumpul tandatangan menyatakan bantahan bagi menggesa kerajaan negeri membatalkan projek berkenaan.