Perkhidmatan 5G pertama Perak di Meru Raya

Hasnul Zulkarnain (kanan), memyempurnakan gimik perasmian petang tadi.
Hasnul Zulkarnain (kanan), memyempurnakan gimik perasmian petang tadi.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak dalam peringkat cadangan untuk menyediakan perkhidmatan telekomunikasi 5G di negeri ini, pada masa hadapan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, perkhidmatan berkenaan juga bakal menyaksikan pembinaan lebih banyak menara telekomunikasi di sekitar negeri.

Menurutnya, pembinaan menara telekomunikasi ini bakal dibina dalam 300 hingga 500 meter bagi meminimumkan gangguan (talian).

"Di peringkat persekutuan, perkhidmatan 5G ini dilancarkan Putrajaya tetapi di Perak kita rancang untuk mulakannya di Meru Raya dalam tempoh empat lima bulan akan datang.

"Selain itu, perkhidmatan 5G ini akan menyaksikan lebih banyak pembinaan menara dan kita akan pastikan, menara ini tidak memberikan kesan radiasi kepada masyarakat," katanya.

Hasnul berkata demikian pada sidang media setelah menyempurnakan Majlis Pelancaran Portal Perak Digital, Sistem Permohonan atas Talian Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kursus Teknologi Maklumat (ICT) Rakyat di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi melancarkan Kursus Teknologi Maklumat (ICT) Rakyat (KIR).

Katanya, kursus berkenaan juga menyaksikan pihak MCMC memberikan kebenaran untuk menggunakan kesemua 60 Pusat Internet Malaysia di seluruh negeri untuk menganjurkan kursus berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Bayaran untuk kursus ini hanyalah RM10.60 seorang. Antara modul yang akan diperkenalkan adalah Facebook, Instagram untuk saya, blog dengan merakam video, fotografi di hujung jari, edit gambar dengan satu klik, syoknya membeli belah dalam talian dan lain-lain.

"Oleh itu kita harapkan program yang kita lancarkan ini mendapat sambutan rakyat, sekali gus mendekatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar," katanya