Rempuh kereta polis elak dicekup

Ab Rashid (tengah) memeriksa rampasan rokok dan ubat batuk.
Ab Rashid (tengah) memeriksa rampasan rokok dan ubat batuk.
A
A
A

TUMPAT - Cubaan satu sindiket menyeludup 330 karton rokok gagal apabila kereta yang dipandu seorang lelaki tersekat di jalan mati dan melanggar kereta Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Tumpat ketika dikejar polis di Kampung Teluk Jering, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 malam, penyeludup terbabit berjaya meloloskan diri apabila melarikan diri dalam gelap.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, kereta jenis Proton Wira itu mencurigakan anggota MPV ketika terserempak di Wakaf Zin jalan Chabang Empat-Meranti.

"Apabila anggota MPV mengarahkan pemandu kereta terbabit berhenti, dia memecut menghala ke Kuala Jambu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, hari ini.

Menurutnya, MPV terbabit mengejar kereta tersebut sejauh lima kilometer namun cubaan melarikan diri gagal apabila terbabas di jalan mati di kampung Teluk Jering.

Katanya, pemandu itu cuba meloloskan diri dengan bertindak mengundur belakang keretanya apabila dikepung MPV.

"Lelaki terbabit bertindak melanggar kereta MPV dengan memandu mengundur belakang tetapi tersekat.

"Dia kemudiannya bertindak keluar dari kereta tersebut dan melarikan diri dalam keadaan gelap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 330 karton rokok seludup Gudang Garam di dalam kereta terbabit dengan nilai rampasan berjumlah RM29,000.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan motosikal ditahan apabila terbabas di kampung Bahagia, Chabang Empat dalam keadaan khayal.

Ab Rashid berkata, pemeriksaan lanjut anggota MPV menemui sebotol heroin sebanyak 4.56 gram di badan suspek dan pemeriksaan urin mendapati lelaki berusia 34 tahun positif dadah.

Katanya, polis Tumpat juga turut merampas 208 botol ubat batuk dalam serbuan di kampung Padang Rokma pada hari yang sama.

"Seorang lelaki berusia 32 tahun direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan," katanya.