'Syukur ada lauk untuk buka, puasa nanti' - Isteri penoreh getah

Penduduk menunggu giliran menerima agihan sumbangan pada Jelajah Kasih Ramadan IAM dan Etiqa Takaful yang diadakan di Masjid Mukim Sungai Long, Batu Melintang, Jeli pada Jumaat. Gambar kecil: Rosmaini dan Siti Mardiana
Penduduk menunggu giliran menerima agihan sumbangan pada Jelajah Kasih Ramadan IAM dan Etiqa Takaful yang diadakan di Masjid Mukim Sungai Long, Batu Melintang, Jeli pada Jumaat. Gambar kecil: Rosmaini dan Siti Mardiana
A
A
A

JELI - Keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini menjejaskan pendapatan penoreh getah di Sungai Long, Batu Melintang di sini apabila hasil torehan mereka ketara merosot.

Merumitkan keadaan, situasi ini berlaku ketika mereka sedang membuat persiapan menyambut Ramadan kurang seminggu lagi.

Namun kebimbangan itu sedikit terubat apabila menerima sumbangan barangan dapur daripada Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Etiqa Takaful.

Suri rumah, Rosmaini Setopa, 49, berkata, dia sangat bersyukur apabila mendapat tahu nama terpilih untuk menerima sumbangan 15 jenis makanan asas termasuk beras.

"Syukur dapat terima barang dapur. Tidak lama lagi nak puasa. Kebetulan pendapatan suami sebagai penoreh banyak terjejas kerana cuaca sekarang yang tidak menentu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Jelajah Kasih Ramadan IAM dan Etiqa Takaful yang diadakan di Masjid Mukim Sungai Long, Batu Melintang di sini pada Jumaat.

Zafri (dua dari kiri) dan Zawahir (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Jelajah Kasih Ramadan IAM dan Etiqa Takaful yang diadakan di Masjid Mukim Sungai Long, Batu Melintang, Jeli pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ Hazelen Liana Kamarudin
Zafri (dua dari kiri) dan Zawahir (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Jelajah Kasih Ramadan IAM dan Etiqa Takaful yang diadakan di Masjid Mukim Sungai Long, Batu Melintang, Jeli pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ Hazelen Liana Kamarudin

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim dan Presiden IAM, Zawahir Abdullah.

Menurut ibu kepada sembilan orang anak itu, sumbangan yang diterima bukan sahaja dapat meringankan beban suami tetapi digunakan untuk memasak hidangan sahur serta berbuka puasa nanti.

Artikel Berkaitan:

Bagi Siti Mardiana Johary, 36, juga seorang suri rumah, sumbangan berbentuk barangan dapur itu cukup menggembirakannya.

"Terutama tiga anak saya yang berusia enam hingga 15 tahun. Mereka sudah minta saya masak macam-macam hidangan untuk berbuka nanti, kerana puasa sudah tidak lama.

"Pendapatan suami sebagai penoreh banyak terjejas semenjak musim tengkujuh lalu. Sekurang-kurangnya duit yang ada dapat digunakan untuk beli barangan basah," katanya.

Sementara itu, Zafri memberitahu, bersempena ketibaan bulan Ramadan, IAM dengan kerjasama Etiqa Takaful telah menganjurkan program jelajah kemanusiaan bertemakan 'Kasih Ramadan' bagi menjejaki serta menyantuni asnaf dan golongan kurang berkemampuan di kawasan pedalaman.

Menurut beliau, ia melibatkan seramai 1,020 penerima di lima buah negeri iaitu Kelantan, Wilayah Persekutuan, Perak, Pahang dan Kedah.

Ujarnya, setiap penerima manfaat akan menerima pek makanan yang mengandungi barangan keperluan harian seperti beras, gula, sardin, tepung, minyak masak, susu, makanan dalam tin serta keperluan asas lain

"Di sebalik kemeriahan menyambut Ramadan, saya percaya masih ramai yang sedang berjuang untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur untuk keluarga mereka.

"Justeru, kami percaya program ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kesusahan mereka. Kami akan buat yang terbaik dalam menyalurkan bantuan tersebut,” katanya.

Ringkasan AI

  • Cuaca tidak menentu telah menjejaskan pendapatan penoreh getah di Sungai Long, Batu Melintang
  • Kebimbangan penoreh getah terubat dengan menerima sumbangan barangan dapur daripada Islamic Aid Malaysia dan Kerjasama Etiqa Takaful menjelang Ramadan
  • Rosmaini Setopa, seorang suri rumah bersyukur menerima sumbangan makanan asas yang meringankan beban persiapan puasa
  • Siti Mardiana Johary gembira sumbangan makanan membantu persiapan juadah berbuka puasa untuk tiga anaknya
  • Islamic Aid Malaysia dan Etiqa Takaful menganjurkan program jelajah kemanusiaan 'Kasih Ramadan' untuk menyantuni asnaf dan golongan kurang berkemampuan di lima buah negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!