Rempuh kenderaan polis elak ditahan

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesahkan kejadian tular di media sosial yang berlaku pada Rabu melibatkan sebuah kereta yang merempuh kenderaan polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun memberitahu, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika anggota polis cuba menahan sebuah kereta Toyota Corolla Altis yang dinaiki dua lelaki di Wakaf Che Yeh, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai.

Menurut beliau, ketika pihak polis cuba menahan kenderaan tersebut, pemandunya bertindak merempuh kenderaan polis dalam usaha meloloskan diri.

"Sebaik tiba di lampu isyarat, kereta itu sekali lagi bertindak merempuh beberapa buah kenderaan lain yang berhenti kerana lampu isyarat merah.

"Kedua-dua suspek keluar dari kenderaan mereka dan terus melarikan diri," katanya.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemui syabu dan pil yaba dengan nilai rampasan RM 9,815.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut lanjut turut menemui barangan peribadi milik suspek dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi dadah yang dijumpai dan tindakan juga diambil di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu dalam keadaan berbahaya.

Muhamad Zaki turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden yang berlaku.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan menahan 366 individu membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan merampas dadah bernilai RM94,648.

Kesemua mereka yang ditahan melalui Operasi Tapis itu berusia di antara 14 tahun hingga 65 tahun yang terdiri daripada 361 lelaki dan 5 wanita.

Muhamad Zaki berkata, antara dadah yang dirampas dalam operasi itu ialah heroin, pil yaba, pil psikotropik, ganja dan daun ketum.

"Seramai 33 penagih tegar atau berulang sudah dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 sepanjang tempoh operasi dijalankan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Beliau turut memberitahu, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 dengan menyita kenderaan dengan nilai keseluruhan RM30,162.

"Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa khususnya PDRM," katanya.