Lelaki ditahan bersama 6,750 karton rokok seludup

Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan rokok-rokok seludup yang dirampas.
Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan rokok-rokok seludup yang dirampas.
A
A
A

KUALA LANGAT - Polis menahan seorang lelaki dan merampas 6,750 karton rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM 337,500 dalam Op Taring Landai pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, sepasukan pegawai polis dan anggota Unit Risikan Marin Pelabuhan Klang telah menahan sebuah lori di Jalan Klang-Banting pada jam 8.30 malam.

"Kita merampas 6,750 karton rokok tidak bercukai jenama, hasil semakan mendapati suspek berusia 33 tahun itu tidak bekerja dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahmad Ridhwan berkata, suspek mengaku membawa rokok seludup sejak bulan Mac lalu yang diaturkan oleh seorang lelaki warga tempatan.

"Suspek mengambil rokok tersebut di Kota Bharu, Kelantan dan dipasarkan di sekitar Johor Bharu dengan kadar bayaran RM500 bagi setiap satu perjalanan," katanya.

Beliau berkata, suspek telah direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan dan sebarang aktiviti jenayah boleh menghubungi bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.