Budak pandu kereta: Polis rakam keterangan ibu bapa

Orang ramai membantu menenangkan kanak-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada malam Selasa.
Orang ramai membantu menenangkan kanak-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada malam Selasa.
A
A
A

LANGKAWI - Polis telah merakamkan keterangan ibu dan bapa kepada kanak-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mereka masing-masing berusia 22 dan 28 tahun itu hadir ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan keterangan selesai diambil jam 2 petang pada Rabu.

Menurutnya, polis belum mengambil keterangan penuh daripada kanak-kanak terbabit dan adiknya berusia tiga tahun kerana mereka dilihat masih trauma.

"Kanak-kanak berusia enam tahun itu hanya berkata dia pandu kereta kerana ingin ke kedai untuk membeli kereta mainan.

"Polis juga mendapatkan rakaman video terbaharu dari orang awam yang turut merekodkan situasi di mana kereta dipandu ke kiri dan kanan jalan sebelum melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian seorang budak lelaki berusia enam tahun mengejutkan orang ramai apabila memandu sebuah kereta lebih kurang 2.5 kilometer sebelum terbabas.

Kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan di dagu dan dia memandu kereta tersebut bersama seorang penumpang yang merupakan adik lelakinya berumur tiga tahun.

Jelas Shariman, ibu kanak-kanak itu berkata, sebelum kejadian dia bersama dua anaknya berusia tiga dan enam tahun di ruang tamu rumah mereka.

"Ibu dua beradik tersebut kemudiannya masuk ke dalam bilik air untuk mandi dan sebaik keluar mendapati kedua-dua anaknya telah tiada di ruang tamu.

"Sebaik mencari di seluruh bahagian rumah dan tidak menemui anaknya, dia kemudiannya mengejutkan suami yang sedang tidur di dalam bilik dan memaklumkan kedua-dua anak mereka telah hilang," ujarnya.

Beliau berkata, suami wanita terbabit yang merupakan peniaga kedai runcit kemudiannya mahu mengambil kunci kereta yang digantung di dinding namun kunci tersebut telah tiada.

Mereka kemudian memeriksa di luar rumah dan turut mendapati kereta juga telah tiada di hadapan rumah.

"Polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut dan meneruskan siasatan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.