[VIDEO] Nafi fitnah kerajaan, Anwar jelaskan isu RM2 bilion

 Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ketika menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ketika menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau memfitnah kerajaan selepas meminta penjelasan berhubung kos RM2 bilion untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Beliau memberi reaksi berkenaan selepas Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) memintanya menarik balik tuduhan berhubung isu perbelanjaan RM2 bilion tersebut.

Anwar sebaliknya menjelaskan, beliau ‘bertanya’ tentang kos berkenaan kerana difahamkan kerajaan telah membelanjakan RM7.2 bilion untuk bayaran perunding luar sejak lima tahun lalu.

“Saya sebut, saya difahamkan lima tahun lalu, kerajaan dah belanja RM1.8 bilion dan saya nak tanya lebih RM2 bilion diberikan kepada konsultan untuk siapkan buku RMK12 dan seterusnya.

“Kita tidak menafikan kenyataan bahawa kakitangan Unit Perancangan Ekonomi, penjawat awam menjalankan tugas... malah saya berterima kasih kepada mereka,” katanya ketika mencelah pada sesi perbahasan RMK12 oleh Charles Anthony Santiago (PH-Klang) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak pernah membelanjakan sebanyak RM2 bilion untuk menyiapkan buku RMK12 seperti yang didakwa Anwar di Dewan Rakyat pada hari sama.

Sebaliknya, jelas Mustapa, perancangan pembangunan negara untuk lima tahun itu disediakan oleh pegawai UPE JPM di bawah seliaannya.

Mengulas lanjut, Anwar bertindak memperincikan perbelanjaan kerajaan untuk membayar perunding asing sejak 2009.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia berdasarkan kenyataan Kementerian Kewangan pada 12 November 2013, tentang syarikat perunding.

“Sebanyak RM1.9 bilion dibayar pada 2009, RM1.6 bilion (2010), RM1.7 bilion (2011), RM1.8 bilion (2012), dan RM721 juta (sehingga Oktober 2013).

“Maknanya dalam lima tahun, RM7.2 bilion yang telah dibelanjakan... secara purata, kerajaan bayar kepada perunding asing RM125 juta sebulan atau RM4 juta sehari,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengesa kerajaan agar tidak hanya bergantung kepada perunding asing demi membantu perunding tempatan.

“Pada 1 April 2021, Menteri Kewangan buat kenyataan, jika perunding itu perunding tempatan, bayarannya tidak boleh lebih RM500,000, tetapi untuk syarikat perunding asing, boleh beri RM50 juta atau lebih.

“Jadi saya menggesa kerajaan Persekutuan supaya jangan hanya bergantung kepada perunding asing kerana kita ada keupayaan menggunakan perunding, kepakaran tempatan, universiti tempatan dan juga penjawat awam yang berkemahiran,” katanya.