Budak 10 tahun derita radang usus

Keadaan Ahmad Afzal yang masih lemah selepas menjalani pembedahan akibat sakit radang usus pada minggu lalu.
Keadaan Ahmad Afzal yang masih lemah selepas menjalani pembedahan akibat sakit radang usus pada minggu lalu.
A
A
A

MELAKA - Luluh hati seorang ibu apabila anak lelakinya yang dahulunya ceria dan aktif kini terpaksa menahan kesakitan akibat radang usus.

Suri rumah, Norhayati Ismail, 33, berkata, pada mulanya, anak sulungnya, Ahmad Afzal Aman,10, dikesan mengalami masalah apendiks pada Julai lalu selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta negeri ini.

Menurutnya, selepas menjalani pembedahan anaknya masih mengalami kesakitan yang sama iaitu sukar membuang air besar.

"Kemudian saya kembali ke hospital swasta itu dan doktor memaklumkan ia hanya proses pemulihan selepas menjalani pembedahan.

"Namun naluri sebagai ibu tetap rasa ada penyakit lain yang mungkin anak saya hidap sebelum membuat ujian darah dan beberapa ujian lain. Selepas itu, anak saya disahkan ada masalah berkaitan usus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Norhayati berkata, selepas itu, anaknya dihantar mendapatkan rawatan daripada doktor pakar usus kanak-kanak di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, Selangor.

"Hasil pemeriksaan, doktor pakar berkenaan mendapati anak saya menghidap radang usus kronik dan terpaksa menjalani sekali lagi pembedahan.

"Hanya ALLAH sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Kini anak saya masih dirawat di hospital swasta berkenaan selepas menjalani pembedahan pada minggu lalu," katanya yang mengakui kos pembedahan anaknya itu ditanggung pihak insurans.

Artikel Berkaitan:

Norhayati (kiri) bersama anaknya, Ahmad Afzal yang masih mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta di Selangor.
Norhayati (kiri) bersama anaknya, Ahmad Afzal yang masih mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta di Selangor.

Bagaimanapun menurutnya, sampai bila harus menggunakan insurans berkenaan memandangkan doktor memaklumkan anaknya perlu mendapatkan rawatan susulan dua minggu sekali dan mengambil ubat dengan kos yang agak mahal.

Katanya, dengan pendapatan suami sebagai tentera sukar untuk menampung kos yang dianggarkan RM1,000 setiap kali mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, Norhayati berharap pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) dapat mempercepatkan proses permohonan anaknya untuk mendapatkan rawatan susulan dan ubat-ubatan.

"Sementara menunggu keputusan HKL, anak saya perlu dapatkan rawatan dan ubat di hospital swasta ini agar keadaannya semakin pulih.

"Saya juga berterima kasih kepada guru-guru termasuk guru di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bertam Ulu yang membuat sumbangan untuk anak saya," katanya yang menetap di Taman Seri Bertam.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di nombor akaun Maybank 154026825291 atas nama Norhayati Ismail.