Covid-19: 278 lagi kematian, 99 BID

KKM laporkan sejumlah 278 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi. - Foto fail Bernama
KKM laporkan sejumlah 278 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sejumlah 278 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 25,437 kes, iaitu 1.15 peratus daripada 2,193,434 kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, sejumlah 99 daripada 278 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Bagaimanapun, jumlah kematian yang dilaporkan itu turut merangkumi sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa mingu lalu.

Tunggakan kes itu berlaku kerana proses bagi mengesahkan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat wabak itu, memakan masa.

Portal Github menunjukkan hanya tiga kes kematian dilaporkan berlaku semalam, namun angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang masih belum dikemas kini.

Berdasarkan purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, trend kematian pesakit Covid-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksin serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam, sejumlah 60.1 peratus daripada keseluruhan populasi negara sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 dan 69.9 peratus pula mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Artikel Berkaitan:

Daripada 278 kes kematian yang dilaporkan semalam, 113 daripadanya adalah di Selangor, disusuli Johor (32), Pulau Pinang (31), Kedah (27), Sabah (22), Kuala Lumpur (12), Sarawak dan Kelantan (11), Perak dan Terengganu (5), Pahang dan Melaka (4) serta Negeri Sembilan (1).

Negeri dan wilayah yang mencatatkan sifar kes kematian semalam adalah Perlis, Labuan dan Putrajaya. - Awani