Pergerakan tanah punca kejadian tanah runtuh: IWK

Runtuhan berlaku melibatkan tebing dan tanah di sebuah blok Rumah Pangsa Sri Cempaka. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
Runtuhan berlaku melibatkan tebing dan tanah di sebuah blok Rumah Pangsa Sri Cempaka. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Kejadian tanah runtuh melibatkan Blok J, Pangsapuri Cempaka, Sri Damansara di Petaling Jaya pada Rabu berpunca daripada pergerakan tanah dan seterusnya menyebabkan kerosakan paip pembetungan di kawasan tersebut.

Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan kerja-kerja alihan kumbahan sementara agar tidak mengalir di kawasan runtuhan dan bagi membolehkan kerja penambakan dapat dilaksanakan pada Khamis.

“Selaku syarikat pembetungan nasional, IWK sentiasa mematuhi segala peraturan kerja yang ditetapkan pihak berkuasa. Pihak syarikat akan bekerjsama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan penduduk setempat dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penghuni di Pangsapuri Sri Cempaka,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh: 10 keluarga sudah keluar dari unit kediaman

'Jika tidak beredar, saya mungkin sudah tertimbus'

Pada Rabu, satu kejadian runtuhan tebing dan tanah berlaku di Blok J, Rumah Pangsa Sri Cempaka kira-kira jam 4.45 petang, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mengulas lanjut, IWK memaklumkan bahawa kejadian berkenaan bukan kali pertama terjadi kerana runtuhan pertama berlaku di cerun bersebelahan Blok J, Pangsapuri Sri Cempaka pada 17 April tahun ini.

“Kerja-kerja pembaikan paip pembetungan segera dijalankan IWK dan siap pada 25 April lepas.

“IWK segera memaklumkan kepada pihak berkuasa berkenaan kerja pembaikan yang telah selesai melalui surat pada 28 April 2021 dan memohon pihak berkuasa segera melakukan pembaikan dinding parit monsun dan cerun berdekatan.

IWK berkata, siasatan terperinci untuk pengesahan keadaan paip telah dilakukan dengan menggunakan kamera litar tertutup pada Jun lalu dan mendapati struktur paip berada dalam keadaan baik dan berfungsi sempurna.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kata IWK, satu lagi kejadian tanah runtuh telah berlaku di tempat yang sama pada 26 Ogos 2021.

Jelasnya, ia sekali gus menyebabkan paip pembetungan di sana telah rosak buat kali kedua.

“Oleh yang demikian, kerja-kerja pembaikan sekali lagi segera dilakukan pada 1 September 2021 untuk sambungan dari pangsapuri dan siap pada 6 September 2021.

“IWK sekali lagi memohon melalui surat bertarikh 1 September 2021 kepada pihak berkuasa untuk segara melakukan pembaikan cerun serta dinding parit monsun bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang.

“Kerja-kerja pembaikan untuk paip pembetungan yang lebih besar di kawasan cerun telah diteruskan pada 7 September 2021 sehinggalah kepada hari kejadian tanah runtuh kelmarin (Rabu),” jelasnya.