'PJ Love U' jadi tema ulang tahun ke-17 Petaling Jaya

Persatuan Penduduk Blok A PPR Lembah Subang 2 bergambar bersama selepas menyertai pertandingan perarakan.
Persatuan Penduduk Blok A PPR Lembah Subang 2 bergambar bersama selepas menyertai pertandingan perarakan.
A
A
A

PETALING JAYA - 'PJ Love U' diangkat menjadi tema Sambutan Ulang Tahun ke-17 Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya menerusi pelaksanaan 21 program sepanjang Jun ini.

Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berkata, acara kemuncak program adalah majlis perasmiannya di Laman MBPJ pada Sabtu malam.

Jelasnya, pelbagai program antaranya jualan, pameran, pertandingan, sumbangan dan perkhidmatan percuma dirangka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi mendekatkan diri dengan komuniti setempat.

"Tahun ini tahun ke-17 Petaling Jaya menjadi sebuah bandaraya dan 'PJ Love U' diangkat sebagai tema dengan mengambil kira Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya inklusif.

"Sementara program dan aktiviti yang diatur juga melibatkan penyertaan dan memberi manfaat kepada semua peringkat komuniti.

"Kemuncak sambutan adalah pada acara perasmian apabila diserikan dengan persembahan istimewa Firman dan Nabila Maharani dari Indonesia, di samping Neeta Manis, Mr 5k dan Aliff Aziz," katanya.

Terdahulu beliau turut berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-17 Petaling Jaya di Laman MBPJ di sini pada Sabtu malam.

Mohamad Azhan (kanan) mengiringi Loy Sian merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Pataling Jaya ke-17 pada Sabtu.
Mohamad Azhan (kanan) mengiringi Loy Sian merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Pataling Jaya ke-17 pada Sabtu.

Majlis tersebut dirasmikan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian.

Dalam pada itu, Mohamad Azhan berkata, buat julung kalinya juga pertandingan acara perarakan turut diadakan pada majlis perasmian.

Ia membabitkan pelbagai kategori iaitu agensi atau badan kerajaan, badan korporat, majlis perwakilan serta persatuan penduduk dan pusat pengajian tinggi.

"Pertandingan acara perarakan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,500, selain sijil dan hadiah iringan," katanya.

Pelaksanaan program itu juga, menurutnya, turut tertumpu di Taman Bandaran Kelana Jaya, The Spine, Dewan D'Kelana selain lokasi utama di Laman MBPJ, Dataran Boulevard dan Pusat Bandar Seksyen 52.

"Pemilihan lokasi ini selaras dengan hasrat MBPJ menghidupkan persekitaran Pusat Bandar Seksyen 52 dan seterusnya mempergiatkan usaha mempromosi Bandar Raya Petaling Jaya sebagai Kota Seni," jelasnya.

Mohamad Azhan yang menyambut ulang tahun Petaling Jaya buat kali keduanya sebagai Datuk Bandar PJ mengimpikan bandaraya terkemuka Selangor ini dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah ke luar negara.

"Selain mengimpikan Petaling Jaya dikenali sebagai Kota Seni yang penuh dengan aktiviti kebudayaan dan pelancongan, saya berharap MBPJ menjadi pihak berkuasa tempatan yang memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Petaling Jaya dan menjadi contoh atau model kepada agensi kerajaan, mahu pun swasta.

"Kenalilah Petaling Jaya ini sebagai satu bandar raya yang maju dan sejahtera, selaras pelan strategik PJSSR 2023, 'PJ Smart, Sustainable and Resilience 2030," katanya.