Tanah runtuh: 10 keluarga sudah keluar dari unit kediaman

Elizabeth (dua,kiri) ketika meninjau lokasi kejadian pada petang Rabu.
Elizabeth (dua,kiri) ketika meninjau lokasi kejadian pada petang Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Sepuluh keluarga telah meninggalkan unit kediaman masing-masing setelah diminta berbuat demikian susulan kejadian runtuhan tebing dan tanah di Blok J, Rumah Pangsa Sri Cempaka pada petang Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong berkata, pihaknya difahamkan semua keluarga yang terlibat telah keluar daripada kediaman masing-masing sebaik sahaja arahan dikeluarkan.

"Arahan (keluar dari kediaman) untuk beberapa hari ini demi keselamatan mereka, memandangkan unit mereka terletak berhampiran dengan kawasan runtuhan tebing dan tanah di lokasi kejadian.

"Pada masa sama kita nak tengok sama ada berlaku pergerakan tanah dan pelbagai aspek lain. Saya difahamkan ada dua keluarga yang tinggal di sekolah kebangsaan berhampiran manakala yang lain tinggal sementara di rumah saudara mara mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya turut difahamkan kerja pembaikan terus dijalankan sejak Rabu oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk pihak MBPJ yang melakukan kerja-kerja pembaikan di kawasan runtuhan sejak semalam.

"Begitu juga kepada agensi-agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertindak pantas turun ke lokasi kejadian ini," katanya.

Pada Rabu, satu kejadian runtuhan tebing dan tanah berlaku di Blok J, Rumah Pangsa Sri Cempaka kira-kira jam 4.45 petang, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel Berkaitan: