'Jika tidak beredar, saya mungkin sudah tertimbus'

Fadzil menunjukkan lokasi runtuhan di sebuah blok Rumah Pangsa Sri Cempaka ketika ditemui pada Khamis. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
Fadzil menunjukkan lokasi runtuhan di sebuah blok Rumah Pangsa Sri Cempaka ketika ditemui pada Khamis. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pekerja sebuah syarikat pembentungan menarik nafas lega apabila terselamat dalam kejadian runtuhan tebing dan tanah di Blok J, Rumah Pangsa Sri Cempaka di sini pada petang Rabu.

Pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Din berkata, sebelum kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang itu, dia bersama beberapa rakannya menjalankan kerja pembaikan paip pembetungan di lokasi berkenaan.

"Semasa sedang menjalankan kerja, hujan menyebabkan kami semua berhenti sekejap. Hujan kemudian lebat menyebabkan kami semua terus mengemaskan barang untuk beredar.

"Ketika itu, masih belum ada sebarang pergerakan tanah yang berlaku," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Din berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian runtuhan tersebut selepas dimaklumkan oleh penduduk ketika berehat di sebuah gerai makan berhampiran.

Kejadian berlaku pada petang Rabu disebabkan hujan lebat. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
Kejadian berlaku pada petang Rabu disebabkan hujan lebat. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID

Artikel Berkaitan:

"Selesai tugas, saya berehat minum sebentar di gerai makan. Ketika itu ada penduduk beritahu yang lokasi saya bekerja tadi sudah runtuh.

"Masa itu saya tak terkata apa-apa, hanya mampu mengucapkan syukur kerana saya terselamat. Kalau saya masih di situ, saya mungkin sudah tertimbus dalam runtuhan itu," katanya.

Penduduk bimbang keselamatan

Sementara itu, seorang penduduk, Rohaya Muhammad, 57, berkata, kejadian runtuhan itu merupakan kemuncak kerosakan yang berlaku pada blok rumah pangsa terbabit.

"Setahu saya, sebelum ini sudah berlaku sedikit hakisan tanah pada bahagian tepi blok ini, selain terdapat beberapa keretakan kecil.

"Saya difahamkan ada aduan yang telah dibuat, namun tiada tindakan diambil. Cuma runtuhan yang berlaku kali ini agak besar. Syukurlah tindakan pembaikan terus dijalankan," katanya.

Runtuhan berlaku melibatkan tebing dan tanah di sebuah blok Rumah Pangsa Sri Cempaka. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
Runtuhan berlaku melibatkan tebing dan tanah di sebuah blok Rumah Pangsa Sri Cempaka. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mami, 60, berkata, kejadian yang berlaku itu amat merisaukan dirinya sekeluarga.

"Kejadian ini amat membimbangkan saya sekeluarga. Ada kala rasa tidak yakin nak tinggal di sini.

"Sekarang saya dan keluarga tidur di bahagian ruang tamu. Kalau jadi apa-apa, senang nak lari," katanya.

Hujan lebat antara punca kejadian

Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Cempaka, Fadzil Din, 51, berkata, kejadian runtuhan kira-kira jam 4.45 petang itu berlaku disebabkan hujan lebat.

"Mengikut makluman yang saya terima, pergerakan tanah berlaku dengan agak pantas. Ketika kejadian, hujan lebat.

"Sebanyak 10 unit rumah terletak berhampiran kawasan runtuhan telah diarahkan untuk berpindah," katanya.

Runtuhan berlaku melibatkan tebing dan tanah di sebuah blok Rumah Pangsa Sri Cempaka, Petaling Jaya pada petang Rabu. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
Runtuhan berlaku melibatkan tebing dan tanah di sebuah blok Rumah Pangsa Sri Cempaka, Petaling Jaya pada petang Rabu. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 6.10 petang.

"Sepasukan anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba sejurus selepas itu.

"Kejadian melibatkan tanah runtuh di kawasan sebuah rumah pangsa, ketinggian kira-kira lima meter ke arah sungai dan tidak melibatkan struktur bangunan," katanya.

Notis ditampal peringatan diletakkan berhampiran lokasi kejadian.- Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
Notis ditampal peringatan diletakkan berhampiran lokasi kejadian.- Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau bagaimanapun berkata, kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kejadian melibatkan tembok dan tanah berkeluasan 30 X 10 kaki persegi yang runtuh ke arah sungai.

"Kes tersebut kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berada di lokasi," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian pada Khamis mendapati kerja-kerja pembaikan selain penanaman tiang pengukuh di kawasan runtuhan sedang dijalankan.