ADUN Taman Medan bantah kelulusan rumah ibadat tanpa sebarang rundingan

Lokasi yang didakwa bakal menjadi tapak pemindahan sebuah rumah ibadat bukan Islam ke Taman Dato’ Harun
Lokasi yang didakwa bakal menjadi tapak pemindahan sebuah rumah ibadat bukan Islam ke Taman Dato’ Harun
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin membantah kelulusan pemindahan sebuah rumah ibadat bukan Islam ke Taman Dato’ Harun yang didakwa dibuat tanpa sebarang rundingan dengan wakil rakyat dan penduduk setempat.

Menurutnya, kelulusan berkenaan diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada sebuah persatuan penganut Hindu melibatkan tanah Lot 76417 yang terletak berhadapan sebuah dewan acara di Taman Dato’ Harun.

Afif berkata, keputusan tersebut dibuat secara senyap tanpa sebarang konsultasi sama ada dengan beliau selaku ADUN kawasan berkenaan mahupun penduduk setempat yang majoritinya melebihi 90 peratus berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Penduduk tidak pernah dirunding, wakil rakyat tidak dimaklumkan dan keputusan dibuat secara unilateral.

“Ini bukan isu kebebasan beragama, sebaliknya melibatkan sensitiviti komuniti serta keharmonian penduduk setempat,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Beliau menegaskan keputusan sepenting itu tidak wajar dibuat tanpa proses libat urus yang telus serta mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

Sehubungan itu, Afif memaklumkan akan mengadakan satu sidang media dalam masa terdekat bagi menyatakan bantahan rasmi serta menuntut kerajaan negeri membatalkan segera kelulusan yang telah diberikan.

“Saya menyeru penduduk Taman Dato’ Harun dan Taman Medan, pimpinan komuniti serta semua pihak yang prihatin untuk hadir memberikan sokongan dan bersama-sama bersuara.

“Diam hari ini bermakna kita bersetuju dengan keputusan senyap, bersuara hari ini adalah mempertahankan hak serta keharmonian kawasan kita,” tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Afif bersama penduduk Taman Dato’ Harun mengadakan bantahan secara aman di Lot 76417 di Taman Dato’ Harun pada Selasa.

Beliau turut memuat naik sepucuk surat rasmi berkaitan kelulusan tapak rumah ibadat bukan Islam yang didakwa dibuat tanpa rundingan dengan wakil rakyat dan penduduk setempat.

Dokumen bertarikh 4 Februari lalu itu dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling kepada persatuan penganut Hindu berkenaan.

Berdasarkan surat tersebut, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) pada 25 November tahun lalu telah menimbang dan meluluskan cadangan tapak Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) di Lot 76417, Bandar Petaling Jaya Selatan, Daerah Petaling, seluas 1,016 meter persegi untuk diwartakan bagi kegunaan persatuan terbabit.

Surat itu turut memaklumkan pentadbiran tanah tidak mempunyai sebarang halangan untuk memberikan kebenaran masuk tapak awal bagi tujuan kerja pembersihan kawasan, namun sebarang cadangan pembinaan bangunan masih tertakluk kepada kelulusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ringkasan AI

  • ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin membantah kelulusan pemindahan rumah ibadat bukan Islam ke Taman Dato' Harun tanpa rundingan dengan wakil rakyat dan penduduk
  • Kelulusan diberikan kepada persatuan penganut Hindu untuk tanah di Taman Dato' Harun tanpa libat urus penduduk setempat
  • Afif mendakwa keputusan dibuat senyap dan mempertikaikan sensitiviti serta keharmonian komuniti mayoritas Melayu dan Islam di kawasan tersebut
  • Beliau menegaskan keperluan proses libat urus yang telus dan mengambil kira pandangan semua pihak
  • Afif merancang mengadakan sidang media untuk menuntut kerajaan negeri membatalkan kelulusan tersebut dan meminta sokongan penduduk setempat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!