Pakatan Harapan dan badi kuasa

No Image Caption
A
A
A

KEPUTUSAN PRK Semenyih menghantar mesej bahawa putik penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) oleh orang Melayu telah diterjemahkan.

Bagi yang mengikuti dengan dekat perkembangan sejak 10 bulan yang lepas, keputusan tersebut tidaklah juga mengejutkan kerana sentimen kehilangan keyakinan dirasakan di mana-mana termasuklah dalam kalangan pengundi yang turut menyumbang dalam mengeluarkan BN dari tampuk kekuasaan dalam Revolusi Senyap 9 Mei 2018.

Dengan hanya 25-30 peratus pengundi Melayu yang menyokong PH dalam PRU14, sokongan segmen ini merupakan komponen paling rapuh dan boleh beralih pada bila-bila masa. Setelah 10 bulan, apa yang dibimbangi mula menjadi kenyataan. PH sekali lagi dililit oleh fenomena yang paling ditakuti (dan tidak disedari) oleh mana-mana ahli politik iaitu badi kuasa.

Sejak 10 Mei 2018, PH cuba menggambarkan Malaysia pasca BN sebagai Malaysia Baharu. Namun dalam semua syarahan kuliah atau syarahan umum yang saya berikan, saya hanya meletakkan frasa ini sebagai Malaysia (Baharu). Saya sengaja meletakkan perkataan “baharu” dalam kurungan kerana sebagai ahli akademik, kami harus berhati-hati dan melakukan hedging.

Dengan kata lain, ungkapan Malaysia Baharu tidak lebih dilihat sekadar satu strategi perhubungan umum bagi membezakan era Pakatan dan era BN.

Eksperimen yang gagal

Saya merenung kejatuhan parti-parti dominan di beberapa negara seperti LDP Jepun, PRI Mexico dan Kuomintang Taiwan. Namun tidak pula saya terdengar istilah Jepun Baharu, Mexico Baharu ataupun Taiwan Baharu bagi menggambarkan transisi kuasa yang berlaku.

Setelah 10 bulan, adjektif “baharu” tersebut dijangkakan terus kekal di dalam kurungan. Saya kini telah mula memikirkan artikel ilmiah yang ingin saya tulis selepas PRU15 tiga atau empat tahun dari sekarang (mungkin lebih awal dari tempoh itu?).

Artikel Berkaitan:

Tajuk tentatif artikel jurnal ini mungkin berbunyi : “Eksperimen yang Gagal: Perbandingan antara DPJ Jepun dan Pakatan Harapan Malaysia”. Tajuk ini merupakan satu perbandingan dan peringatan yang telah meluas dibangkitkan oleh para penganalisis (dan rakyat Jepun di Malaysia sendiri) terhadap parti yang pernah diberikan harapan oleh rakyat Jepun untuk menjadi lebih baik daripada LDP.

Namun harapan hanya tinggal harapan dan rakyat Jepun kembali memilih LDP sehingga kini setelah melihat DPJ hanya menanam tebu di bibir.

Ya, benar. Saya antara pengundi Melayu yang meletakkan PH di koridor kuasa pada 9 Mei 2018. Namun ia bukanlah secara automatik mencadangkan yang saya menyokong PH ataupun membenci BN sepenuhnya.

Seperti juga banyak taulan dan kenalan yang saya temui, itu sahajalah cara yang tinggal untuk mengeluarkan elemen-elemen kleptokrasi dari kekuasaan. Itu sahajalah juga cara yang tinggal untuk mengajar UMNO erti ketewasan, erti kerendahan diri dan erti empati terhadap keluh kesah rakyat. Jalan lain sudah tidak ada.

Bagi ahli akademik seperti saya, penembusan pengaruh politik di universiti juga begitu jelas dirasakan dan benar-benar menyakitkan. Dengan kata lain, saya memberikan undi saya pada PH agar keadaan di universiti turut dapat dipulihkan. UMNO harus dikomakan dan terserahlah kepada takdir sama ada mereka akan sedar semula atau terus menemui penghujung riwayat.

Wain lama botol baharu

Namun seperti yang pernah diungkapkan tokoh revolusi Poland, Lech Walesa setelah berjaya menjatuhkan rejim komunis di negara itu: “We know lots of revolution, great revolutions, and magnificient people, who after taking over power, produced systems that were much worse than the ones they destroyed”.

Dalam maksud lain, tokoh pmbaharuan sehebat Mikhail Gorbachev ini mengingatkan mengenai badi kuasa yang amat menggerunkan. Justeru, apa yang disaksikan rakyat dalam tempoh 10 bulan ini merupakan manifestasi badi kuasa yang menelurkan semula apa yang pernah dilakukan BN-UMNO sebelum ini – keangkuhan, keasyikan dengan autoriti dan keterputusan dengan rakyat (bawahan).

Jika sebelum ini ketika menjadi pembangkang, PH sering bersandar dengan mantra “rakyat bukan bodoh” dan “jangan memperbodohkan rakyat”, maka tibalah giliran pembangkang kini untuk menggunakan mantra yang sama terhadap PH.

Dalam kata lain, ia hanyalah “wain lama dalam botol baharu” yang didalangi sentimen kerakusan, keegoan dan kedangkalan. Tidak perlu saya jejerkan satu persatu apa yang telah dilakukan PH dalam 10 bulan ini. Sekadar menyatakan bahawa tingkah laku PH kini menyebabkan BN kelihatan begitu “baik dan telah mula dirindui”.

Siapa pernah menyangka Najib akan kembali menjadi item hangat? Siapa pernah menyangka bahawa ceramah orang seperti Ahmad Maslan kini begitu menarik untuk didengar? Siapa pernah menyangka UMNO dan Pas kini boleh “bercium mulut” ? Kesemua ini menandakan keperluan rakyat atau orang Melayu (khususnya golongan luar bandar, peneroka FELDA, nelayan atau pekerja kelas bawahan yang menjadi “mangsa” kerajaan PH) mencari sandaran kelegaan psikologi terhadap ketidaktentuan yang mereka hadapi.

Establishment

Turut menjadi masalah utama PH ialah mereka turut dipengaruhi oleh sebuah establishment belakang tabir yang berkuasa. Mereka ini bukan sahaja terdiri daripada tokoh politik parti tertentu yang berada dalam kerajaan, namun terdiri daripada aktivis masyarakat sivil, peguam, ahli akademik, wartawan media dan sebagainya.

Peranan mereka samalah seperti golongan neokonservatif di Amerika Syarikat dalam era Presiden Reagan dan Presiden George Bush yang bilangannya kecil, namun mampu membingkai dan mempengaruhi pembentukan pandangan dan polisi.

Jangan salah faham. Ini bukan teori konspirasi. Sebagai ahli akademik, saya sentiasa cukup skeptikal dan tidak pernah tertarik dengan teori konspirasi. Malah, mana-mana pelajar saya yang cuba menggunakan analisis teori konspirasi dalam tulisan ilmiah mereka akan saya tegah dan jerkah.

Namun dengan melihat percaturan, kenyataan dan juga strategi yang dilancarkan oleh establishment ini selepas PRU14, agak munasabah untuk dihujahkan yang kumpulan ini mempunyai pengaruh yang substantif dan berjaya mendesak serta meyakinkan kerajaan PH untuk mengambil beberapa keputusan tidak popular (dibaca dalam istilah akademik sebagai reformasi institusi atau struktural).

Inilah antara punca makro yang menjurus terhadap keputusan PRK Semenyih apabila orang Melayu melihat PH gagal menjadi pelindung kepada kegelisahan orang Melayu.

Kepada PH, masa untuk berubah ialah sekarang. Kotakan janji-janji anda sedapat mungkin. Henti menyalahkan rejim BN. Hentikan strategi pelencongan. Hentikan retorik double speak. Hentikan tangisan picisan. Pertauti dan santuni masyarakat luar bandar dan kawal establishment belakang tabir yang disebutkan sebelum ini.

Saya ingin menujukan kepada PH satu ungkapan yang digunakan oleh bekas tokoh pembangkang Filipina, mendiang Beningno Aquino yang dipercayai dibunuh oleh rejim Marcos pada 1986: “We do not have to destroy in order to build”.

* Prof Madya Dr Muhamad Takiyuddin merupakan pensyarah Program Sains Politik UKM. Buku terbaharu beliau ialah “Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Asing di Malaysia” terbitan Universiti Malaya (2019)