Jadikan menuntut ilmu budaya perniagaan

KITA baru nak menutup bulan pertama di dalam tahun 2026. Namun, pelbagai perkara sudah berlaku di seluruh dunia yang memberi kesan ke atas dunia keusahawan.
Geopolitik adalah pendorong utama yang memberi kesan besar ke atas ekonomi dunia tahun ini. Ia berpotensi besar untuk merencatkan perkembangan ekonomi dunia yang memang tidak begitu stabil di beberapa tahun kebelakangan ini.
Kepesatan perkembangan teknologi juga terus berkembang termasuk di awal tahun ini dengan pembangunan pelbagai solusi baharu berdasarkan teknologi terkini.
Corak ini akan berterusan sama ada kita bersetuju atau tidak.
Cuma geopolitik juga sudah mempengaruhi teknologi dengan kuasa-kuasa besar tertentu tidak mahu negara yang menyaingi mereka mendapat teknologi yang menjadikan negara-negara berkenaan lebih berdaya saing.
Disebabkan pelbagai perubahan ini, usahawan bukan sahaja kena faham segala perubahan yang sedang berlaku tetapi membina kemampuan untuk menguruskan perniagaan masing-masing di dalam suasana yang amat dinamik ini. Kita tidak boleh menguruskan perniagaan masa kini dengan pendekatan lama.
Inilah sebabnya penambahan ilmu, kemahiran dan pengalaman harus dijadikan budaya keusahawanan. Setiap usahawan bermula di titik yang berbeza. Ada yang sudah berpengalaman di dalam apa yang mereka usahakan dan ada yang sekadar mencuba-cuba.
Walau bagaimana pun, tidak ada usahawan yang boleh berdiam diri dan berasa selesa dengan ilmu dan kemahiran yang ada. Perniagaan yang mereka uruskan akan terus menghadapi perubahan yang memaksa mereka untuk berhadapan dengan cabaran yang mereka belum pernah berjumpa sebelum ini.
Apa yang membantu ialah ilmu yang relevan lebih mudah dicapai melalui pelbagai platfom yang ada di sekeliling kita. Ada yang boleh dipelajari secara percuma dan ada yang berbayar.
Kualiti ilmu dan kemahiran yang boleh dicapai secara atas talian kini setanding dengan apa yang boleh dipelajari secara bersemuka. Oleh yang demikian, usahawan tidak ada sebab untuk tidak meningkatkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadikan diri mereka usahawan yang lebih hebat.
Di samping membentuk strategi perniagaan, usahawan juga perlu membentuk strategi untuk meningkatkan kemampuan diri dan ahli-ahli pasukan masing-masing. Ini adalah kerana strategi dan kemampuan pelaksanaan adalah saling kait berkait.
Strategi yang hebat tidak akan mencapai matlamatnya sekiranya tidak dilaksanakan dengan hebat juga. Ini memerlukan gabungan bakat, teknologi dan juga dana yang mencukupi. Oleh yang demikian, elemen bakat tidak boleh dipandang rendah dan diabaikan begitu sahaja.
Untuk menjadikan pembelajaran serta pembinaan kemahiran berterusan sebagai budaya, usahawan sebagai pendorong utama kena menekankan perkara ini setiap masa. Sebagai contoh, setiap ahli pasukan utama kena diberikan sasaran tahunan di dalam menambah ilmu dan juga peningkatan kemahiran.
Dana yang mencukupi juga perlu diperuntukan agar mereka boleh menghadiri latihan dan program yang berkenaan agar matlamat yang disasarkan dicapai. Pencapaian kemahiran baharu ini juga perlu menjadi tanda aras pencapaian yang digunakan untuk menilai prestasi ahli-ahli pasukan.
Pelaburan di dalam pembinaan bakat kita akan merugikan perniagaan. Ianya akan dibayar balik melalui produktiviti ahli pasukan dan pencapaian kewangan yang lebih baik. Sekiranya ini diulangulang setiap tahun, lama kelamaan penambahan ilmu dan kemahiran akan menjadi budaya perniagaan.
Disebabkan perubahan yang tidak akan berhenti, perniagaan kena sentiasa berinovasi bagi mengambil peluang dan menguruskan risiko. Usahawan yang berjaya menjadikan penambahan ilmu sebagai budaya perniagaan akan mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi oleh pihak lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
