Gencatan senjata: Siapa sebenarnya penyelamat PN?

TULISAN bertajuk “Gencatan Senjata” oleh Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, pada zahirnya mengangkat seruan damai, namun dari segi kandungan ia sebenarnya lebih menyerupai satu pendakwaan politik sepihak terhadap Pas.
Seruan supaya polemik terbuka dihentikan sebenarnya telah dimulakan oleh Syahir Sulaiman, Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dengan mengambil semangat permukiman Pas Pusat 2026 yang memutuskan bahawa PN kekal sebagai gabungan utama Pas buat masa ini dan perlu diperkukuh untuk mara ke hadapan.
Kenyataan Syahir datang daripada sudut pandang “operator” di lapangan yang melihat jentera telah bergerak, persiapan pilihan raya sedang berjalan dan masa PN sedang dibazirkan oleh polemik elit yang tidak berkesudahan.
Dalam konteks ini, seruan supaya diadakan gencatan senjata dan diadakan mesyuarat penuh PN segera adalah satu seruan yang rasional.
Namun begitu, sambutan daripada Tun Faisal, meskipun pada zahirnya menerima idea “gencatan”, hadir dengan nada angkuh dan defensif, seolah-olah Pas perlu diperingatkan tentang adab dan kesetiaan, sedangkan fakta menunjukkan Pas-lah pihak yang sejak awal menahan diri, tidak membalas serangan terbuka dan berusaha menurunkan suhu konflik.
Gencatan senjata yang tulen tidak dimulakan dengan senarai kesalahan pihak lain, sebaliknya bermula dengan kesediaan menghentikan polemik dan mengiktiraf punca sebenar konflik, iaitu vakum kepimpinan dan kegagalan mekanisme kolektif PN berfungsi.
Fakta asas yang gagal diakui secara jujur ialah bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 1 Januari 2026.
Kini sudah lebih sebulan PN berada dalam keadaan vakum kepimpinan, tanpa pengerusi yang berfungsi secara efektif, tanpa hala tuju jelas dan tanpa keputusan strategik yang mengikat semua parti komponen.
Dalam konteks ini, sebarang gesaan Pas untuk menyelesaikan isu kepimpinan bukanlah serangan terhadap Bersatu, tetapi satu tuntutan tanggungjawab demi kelangsungan gabungan itu sendiri.
Ini kerana gabungan politik tidak boleh hidup melalui “teknikaliti” yang lebih longgar daripada fakta asas, iaitu surat letak jawatan yang bertarikh, sedangkan krisis di lapangan semakin merosakkan disiplin dan keyakinan akar umbi.
Cubaan meletakkan kesalahan kepada Pas dengan mendakwa Pas kemaruk jawatan atau menyerang secara terbuka juga mengabaikan hakikat bahawa Pas memilih untuk menahan diri daripada membalas serangan secara emosional.
Pendekatan Pas sejak awal adalah meredakan keadaan, mengelakkan konflik terbuka dan membuka ruang penyelesaian politik yang realistik.
Malah, dokumen surat-menyurat yang kini berada dalam pengetahuan umum membuktikan bahawa Pas sejak awal sudah mengemukakan kerangka institusi yang jelas untuk memperkukuh PN melalui musyawarah.
Surat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bertarikh 14 Disember 2024 kepada Muhyiddin sebagai Pengerusi PN menunjukkan Pas menzahirkan sokongan berterusan kepada kepimpinan beliau dan mengusulkan pembaikan struktur PN secara tertib.
Pas mencadangkan pengwujudan Majlis Presiden sebagai badan penasihat dan pengawal selia yang memelihara dasar serta hala tuju sambil menegaskan Majlis Tertinggi PN perlu berfungsi sebagai Majlis Eksekutif yang melaksanakan perancangan organisasi, pentadbiran dan strategi pilihan raya dengan akauntabiliti kepada Majlis Presiden.
Pada masa yang sama, Pas menekankan prinsip musyawarah dalam pelantikan jawatan utama, mengelakkan polemik calon Perdana Menteri dan Menteri Besar serta mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas pemerkasaan bagi memperkukuh jentera dan kebolehmenangan PN.
Ringkasnya, sejak penghujung 2024 lagi, Pas sudah meletakkan di atas meja satu pelan “governance” gabungan yang matang yang bukan bersifat provokatif.
Keseriusan untuk menyelesaikan kemelut secara rasmi turut terserlah apabila notis Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN bertarikh 23 Januari 2026 dikeluarkan oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, yang menetapkan agenda kritikal termasuk mengesahkan perletakan jawatan pengerusi dan melantik pengerusi baharu.
Namun konflik tercetus apabila langkah-langkah penyelesaian yang sepatutnya dibuat telah diganggu oleh komunikasi yang tidak selaras, jemputan yang dipertikai dan pertindihan proses lalu membuka ruang polemik yang akhirnya digunakan untuk menyalahkan Pas.
Lebih penting, surat Muhyiddin bertarikh 27 Januari 2026 sendiri mengukuhkan hujah bahawa Pas bertindak dengan jiwa besar tatkala Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada Abdul Hadi yang hadir ke kediamannya pada 16 Januari 2026 bersama Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Pas untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan pelantikan Pengerusi PN.
Malah, surat Muhyiddin itu menyatakan bahawa Abdul Hadi memulakan perbincangan dengan penegasan bahawa PN mesti kekal sebagai gabungan yang dapat menarik sokongan masyarakat majmuk termasuk Sabah dan Sarawak. Ini bukan gambaran Pas sebagai sebuah parti yang “menyerang”, tetapi Pas yang “memimpin suasana” ke arah pemulihan.
Namun, surat balas Abdul Hadi bertarikh 28 Januari 2026 memperincikan satu perkara yang sangat penting untuk menilai siapa yang benar-benar konsisten dengan musyawarah.
Pas menyambut baik komitmen memperkukuh kesepakatan, dan Pas mengulangi pendirian bahawa Majlis Presiden mesti berfungsi sebagai badan penasihat serta pengawal selia, dengan bidang kuasa yang diteliti semula melalui jawatankuasa teknikal bersama.
Akan tetapi, Abdul Hadi menegaskan dengan jelas bahawa kenyataan Muhyiddin bahawa jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan isu pelantikan pengerusi “tidak lagi berbangkit” ialah perkara yang tidak pernah dibincangkan, termasuk dalam pertemuan 16 Januari 2026.
Penegasan ini amat kritikal kerana ia membuktikan Pas bukan pihak yang bermain persepsi. Pas hanya menuntut apa yang dipersetujui itu kekal dipatuhi dan apa yang belum dimusyawarahkan itu jangan diisytiharkan sebagai keputusan muktamad.
Bahkan dalam surat yang sama, Pas menggariskan kedudukan prinsip yang konsisten sejak 14 Disember 2024 lagi, iaitu Majlis Presiden sebagai badan penasihat dan pengawal selia dasar, Majlis Tertinggi PN sebagai Majlis Eksekutif pelaksana dan jawatan Pengerusi PN hendaklah kekal serta diurus tadbir menurut peruntukan perlembagaan sedia ada.
Ini menjadikan jelas bahawa Pas bukan anti-reform. Pas menyokong penstrukturan, tetapi penstrukturan mesti dibuat secara tertib, kolektif dan selari dengan peruntukan yang dipersetujui bersama, bukan diumumkan sepihak seolah-olah telah dimuktamadkan.
Dalam isu Perlis pula, naratif bahawa Pas menyembunyikan kebenaran atau menegakkan kebatilan adalah terlalu simplistik dan tidak adil.
Realiti politik negeri melibatkan hubungan dengan Istana, sensitiviti perlembagaan dan keperluan mengekalkan kestabilan jangka panjang.
Pendekatan berhati-hati Pas dalam isu ini mencerminkan kefahaman terhadap realiti sistem politik berperlembagaan yang tidak boleh ditangani secara semberono, apatah lagi apabila gabungan sendiri sedang berdepan vakum kepimpinan dan kerapuhan disiplin.
Pendekatan Tun Faisal yang terlalu bergantung kepada hujah legalistik mengenai Perlembagaan PN juga memperlihatkan kelemahan. Dalam politik, peraturan wujud untuk mengurus kuasa, bukan untuk menangguhkan penyelesaian ketika krisis sedang memuncak.
Apabila surat perletakan jawatan telah dikeluarkan dengan tarikh yang jelas dan Pengerusi PN tidak lagi menjalankan peranan secara aktif maka berpegang kepada teknikaliti semata-mata hanya akan melumpuhkan gabungan dan mempercepatkan perpecahan.
Ironinya, notis mesyuarat bertarikh 23 Januari 2026 sendiri menunjukkan isu pengerusi sememangnya perlu dimuktamadkan maka menuduh Pas sebagai punca polemik sedangkan proses rasmi pun mengiktiraf isu itu adalah tidak selaras dengan realiti.
Penggunaan retorik moral seperti sumpah, saksi hidup dan pertanggungjawaban akhirat untuk menyelesaikan perbezaan tafsiran mesyuarat pula tidak membantu ke arah penyelesaian.
Konflik tidak boleh diselesaikan melalui tekanan emosi atau penghakiman awam, tetapi melalui mekanisme rasmi, perbincangan terbuka dan keputusan kolektif.
Ketiadaan platform rasmi inilah yang menjadi punca sebenar kekeliruan dan pertikaian berpanjangan, dan surat-menyurat antara Abdul Hadi dan Muhyiddin menunjukkan Pas sebenarnya berkali-kali menarik isu ini kembali ke landasan musyawarah.
Isu kebocoran surat Presiden Bersatu yang dibangkitkan oleh Tun Faisal juga lebih banyak menambah spekulasi daripada menawarkan penyelesaian.
Persoalan utama yang ada ialah bukan siapa yang membocorkan surat, tetapi mengapa PN gagal menyediakan saluran dalaman yang berfungsi untuk menyelesaikan konflik tanpa perlu dibawa ke ruang awam.
Selagi satu mesyuarat penuh PN tidak segera dipanggil dan satu keputusan muktamad tidak direkodkan secara rasmi maka kebocoran, fitnah dan serangan terbuka akan terus-menerus berlaku kerana gabungan dibiarkan terapung tanpa “final authority” yang disepakati.
Keseluruhan tulisan Tun Faisal juga tidak menyentuh realiti paling kritikal dalam PN hari ini, iaitu perpecahan dalaman Bersatu sendiri. Kepimpinan parti itu sedang dipersoalkan, disiplin semakin longgar dan terdapat spekulasi bahawa akan ada lagi Ahli Parlimen Bersatu akan menyokong PMX kerana kecewa dengan kemelut berpanjangan.
Dalam keadaan ini, menyerang Pas hanya akan mempercepatkan keruntuhan PN dan bukan menyelamatkannya kerana Pas adalah satu-satunya komponen yang sedang berusaha menutup ruang perpecahan melalui tatakelola yang jelas dan musyawarah yang berstruktur.
Pas telah menunjukkan jiwa besar dengan bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan dan pentadbiran gabungan sebagai jalan keluar sementara, termasuk kesediaan untuk menerima pengaturan yang dipersetujui demi menenangkan keadaan.
Satu-satunya jalan keluar daripada keseluruhan krisis ini ialah memanggil mesyuarat penuh PN dengan segera bagi mengesahkan status pengerusi, memutuskan struktur kepimpinan secara muktamad, meluluskan pindaan perlembagaan yang dipersetujui, menghentikan polemik terbuka dan mengikat semua parti kepada satu keputusan kolektif yang sah.
Tanpa mesyuarat penuh, PN akan terus terperangkap dalam pertindihan tafsiran perlembagaan, percanggahan komunikasi dan krisis legitimasi. Tanpa mesyuarat penuh juga, seruan supaya berlakunya gencatan senjata hanya akan menjadi penangguhan sementara.
Wajar juga ditanya secara terbuka dan jujur benarkah Gerakan dan MIPP menolak Pas untuk memimpin PN sebab setakat ini tiada satu pun kenyataan rasmi daripada mereka yang menyatakan penolakan terhadap Pas sebagai peneraju utama PN dalam fasa krisis ini.
Malah, kedua-dua Gerakan dan MIPP tidak pernah direkodkan sebagai membantah kepimpinan Pas. Maka cubaan untuk mewujudkan persepsi seolah-olah Pas ditolak oleh rakan gabungan lain lebih menyerupai naratif yang direka untuk menekan Pas.
Dalam dunia politik, kelewatan membuat keputusan selalunya akan membawa kepada bencana. Pas telah memilih untuk meredakan keadaan dan menyediakan jalan penyelesaian melalui musyawarah. Kini terpulang kepada PN untuk bertindak secara matang dan berani.
Jika benar perdamaian diingini maka mesyuarat penuh PN wajib dipanggil serta-merta supaya krisis ini tidak terus berlarutan sebagai polemik tanpa penghujung dan PN dapat kembali dipandu oleh keputusan kolektif yang sah, muktamad dan mengikat semua pihak.
* Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah penganalisis politik Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
