KASA sasar lima kawasan baharu projek Wakaf Air

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarkan lima lagi kawasan baharu bagi pelaksanaan projek Wakaf Air.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu merupakan antara 10 pencapaian utama yang harus dibuktikan kementerian dalam tempoh 100 hari.

"Kementerian menerima banyak permohonan untuk pelaksanaan projek ini di seluruh negara," katanya.

Menurutnya, permohonan tersebut akan dinilai oleh jawatankuasa sebelum keputusan dilakukan.

"Penilaian akan dibuat antaranya mengambil kira kawasan mana yang memberi lebih manfaat kepada pengguna, kita akan beri keutamaan," katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan perhimpunan bulanan di kementeriannya di sini pada Selasa.

Beliau berkata, setakat ini projek Wakaf Air sudah menjana pendapatan terkumpul semasa sebanyak RM3 juta.

Projek Wakaf Air yang dilancarkan pada Disember tahun lalu merupakan inisiatif KASA melalui kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan melalui instrumen wakaf.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, antara yang turut tersenarai dalam 10 pencapaian utama ialah menggubal kerangka undang-undang Perubahan Iklim Negara, menggubal struktur asas Pusat Inventori Gas Rumah Kaca (GHG) Negara, dan membangunkan rangka kerja skim perdagangan karbon domestik.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, melancarkan 'Malaysia Plastics Sustainability Roadmap' dan mewujudkan portal pekerjaan bagi menjana peluang pekerjaan dalam sektor pertumbuhan ekonomi hijau.

Ujar beliau, bagi tempoh sama, KASA akan meluaskan penggunaan sumber air pulih guna untuk industri.

"Ia bukan untuk kegunaan minuman, tetapi akan dibekalkan kepada industri selepas air yang dirawat mencapai piawaian tertinggi," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan meluaskan kawasan liputan bekalan air dan pembetungan.

"Kadar rizab margin air nasional juga akan dipertingkatkan," jelas beliau.

Tambah Tuan Ibrahim, KASA akan membangunkan mekanisme penetapan tarif air yang adil dan telus.

"Kita akui cabaran amat besar kepada operator air. Ada yang sampai 28 tahun tidak pernah menyemak tarif air dan pada masa sama pengguna memerlukan air bersih. Kita perlu lebih adil dan telus. Ini akan dilaksanakan," katanya.