Rakyat boleh mohon projek infrastruktur kecil kepada Kementerian Ekonomi

Rafizi (kiri) menjawab soalan pada sesi dialog awam Majlis Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 Kementerian Ekonomi bersama-sama Kerajaan Negeri Selangor Bagi Tahun 2023 di MBSA Convention Centre pada Khamis. - Foto Bernama
Rafizi (kiri) menjawab soalan pada sesi dialog awam Majlis Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 Kementerian Ekonomi bersama-sama Kerajaan Negeri Selangor Bagi Tahun 2023 di MBSA Convention Centre pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Ekonomi akan membuka peluang kepada rakyat untuk membuat permohonan peruntukan bagi sebarang projek pembangunan dan infrastruktur kecil awam secara terus kepada kementerian dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, sistem permohonan itu kini dalam persediaan akhir dan kementeriannya akan menerangkan secara lanjut mengenai bentuk permohonan projek yang dibenarkan serta syarat yang berkaitan apabila diperkenalkan nanti.

Menurutnya, apabila dilancarkan nanti rakyat tidak perlu lagi melalui proses permohonan yang berlapis yang biasanya mengambil masa panjang untuk diluluskan.

Rafizi berkata, peluang itu turut dibuka bagi memberi ruang kepada rakyat memberi input dan cadangan pembangunan kepada kerajaan yang kemudian akan dipadankan dengan perancangan jabatan berkaitan.

Beliau berkata demikian ketika sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Kementerian Ekonomi bersama-sama Kerajaan Selangor, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Kita mulakan dahulu dengan projek kecil kerana biasanya ianya tidak dirancang oleh kerajaan, yang tahu ia wujud hanya wakil rakyat sahaja.

"Dapat atau tidak (peruntukan permohonan), ia kena melalui proses. Kita kena bekerjasama dengan pejabat daerah dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, langkah tersebut juga merupakan situasi menang-menang dan seterusnya memudahkan wakil rakyat kerana permohonan boleh dilakukan terus kepada Kementerian Ekonomi. - Bernama