X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

19,733 kes baharu, lebih 3,000 positif di Sarawak

Sebanyak 19,733 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dalam negara pada Rabu.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes baharu positif Covid-19 meningkat sebanyak 1,186 berbanding Selasa menjadikannya 19,733 kes pada Rabu.

Sarawak melaporkan 3,100 kes diikuti Selangor (2,989), Pulau Pinang (2,474), Sabah (2,067), Johor (1,867), Kedah (1,564), Kelantan (1,471) dan Perak (1,319).

Negeri lain yang melaporkan kes tiga angka dan ke bawah adalah Terengganu (904), Pahang (700), Kuala Lumpur (537), Melaka (375), Negeri Sembilan (256), Perlis (74), Putrajaya (29) dan Labuan (tujuh).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 adalah 1,900,467.

Tambah beliau, sebanyak 22,701 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhannya 1,632,631 kes.

"Sebanyak 1,299 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) melibatkan 904 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan," katanya.

Tambahnya, kes yang memerlukan bantuan pernafasan adalah 750 yang terdiri daripada 320 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Menurut beliau, terdapat 361 kes kematian baharu membabitkan 301 rakyat tempatan dan 60 warga asing.

"Daripada jumlah itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan 102 kes kematian di rumah atau di luar fasiliti kesihatan (BID) melibatkan 71 rakyat tempatan dan 31 warga asing.

“Jumlah keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 adalah 19,163 kes," jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 12,483 (64.7 peratus) adalah pesakit yang tiada sejarah vaksinasi, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau telah menerima dua dos vaksin tetapi tidak melebihi 14 hari dari tarikh dos kedua.

"Bakinya, 6,821kes (35.3 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap bagi kategori satu dan dua.

“Daripada 429 kes kategori tiga hingga lima, sebanyak 331 kes (77.2 peratus) terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi.

"Hanya 98 kes (22.8 peratus) daripada mereka yang telah lengkap di vaksinasi," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 35 kluster baharu dikenal pasti KKM menjadikan jumlah keseluruhannya 4,995 kluster.

"Terdapat 20 kluster tempat kerja, 11 kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi, satu kluster pendidikan lain dan satu kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi," jelasnya.

Sebanyak 3,536 kluster telah diisytiharkan tamat manakala 1,459 lagi masih aktif.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!