Kontraktor didenda, dikenakan penalti khas lebih RM700,000

Mum Keong (kanan) diiringi pegawai LHDN ketika hadir di Mahkamah Majistret Port Dickson pada Jumaat.
Mum Keong (kanan) diiringi pegawai LHDN ketika hadir di Mahkamah Majistret Port Dickson pada Jumaat.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang kontraktor paip didenda RM8,000 dan dikenakan penalti khas RM719,872.50 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat atas kegagalan mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hukuman itu dijatuhkan Majistret V Vanita terhadap Chew Mum Keong, 44, yang mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara empat bulan jika orang kena saman (OKS) gagal menjelaskan denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, OKS yang merupakan pemilik Syarikat Pipe Pro Enterprise gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B bagi tahun taksiran 2020 dan tahun 2021 mengenai pendapatan penama kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri iaitu pada atau sebelum 30 Jun 2021 bagi Tahun Taksiran 2020 dan pada atau sebelum 30 Jun 2022 bagi Tahun Taksiran 2021 dengan tiada sebab munasabah.

Berikutan itu OKS didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sementara itu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman denda yang minimum dan turut mengemukakan rayuan secara bertulis kepada Vanita.

Pegawai Pendakwa LHDN, Irfan Muashik Jantan pula dalam hujahannya memaklumkan yang OKS merupakan pelaku kesalahan tegar dengan melakukan kesalahan berulang.

"Tindakan OKS tidak mengemukakan borang nyata cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2020 dan 2021 telah menyebabkan ketirisan kepada hasil negara.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kes ini juga, kepentingan awam harus diambil kira oleh mahkamah kerana kepentingan awam lebih penting berbanding kepentingan individu," katanya.

Beliau juga memohon supaya OKS dikenakan tambahan penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan selaras dengan peruntukan Seksyen 112(1A) ACP 1967.

Mengikut fakta kes, OKS gagal melaporkan pendapatannya sebanyak RM584,871 bagi tahun 2020 dan RM524,559 bagi tahun 2021.

Selain itu cukai yang gagal diisytiharkan ialah RM127,617.75 bagi tahun 2020 dan RM112,339.75 bagi tahun 2021.