Boleh ziarah kubur tapi bersyarat

Aktiviti ziarah kubur di Selangor dibenarkan sepanjang tempoh Fasa Satu PPN mengikut SOP ditetapkan. Gambar kecil: Mohd Zawawi
Aktiviti ziarah kubur di Selangor dibenarkan sepanjang tempoh Fasa Satu PPN mengikut SOP ditetapkan. Gambar kecil: Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Aktiviti ziarah kubur di Selangor dibenarkan sepanjang tempoh Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bagaimanapun berkata, hanya dua waris dibenarkan menziarahi kubur keluarga atau saudara pada satu-satu masa selama 20 minit di tanah perkuburan Islam bersepadu di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, bagi tanah perkuburan Islam kariah di bawah seliaan masjid pula dihadkan tidak melebihi lima orang dengan tempoh ziarah selama 30 minit.

"Pastikan mereka yang hadir memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal satu meter, mengimbas aplikasi MySejahtera dan melakukan ziarah pada masa yang dibenarkan sahaja.

"Kebenaran ini diberikan kepada mereka yang telah lengkap menerima dua dos vaksin," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, bagi urusan pengebumian jenazah kematian biasa pula dihadkan kepada sepuluh orang waris di tanah perkuburan Islam di bawah PBT dan dibenarkan membawa imam serta pembantunya bagi memimpin bacaan talkin serta tahlil.

Jelasnya, pengebumian di tanah perkuburan Islam di bawah seliaan masjid pula dibenarkan seramai 20 orang waris dan lima ahli jawatankuasa masjid bagi mengiringi jenazah

"Bagi pengebumian jenazah Covid-19 kategori individu di tanah perkuburan Islam seliaan PBT dan masjid, seramai sepuluh waris dibenarkan masuk dan berada di zon menunggu yang ditetapkan manakala bagi proses pengebumian secara berkumpulan, hanya dua waris sahaja dibenarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, urusan pengebumian mengikut SOP ditetapkan KKM dan prosesnya akan dilakukan oleh petugas kubur atau sukarelawan bukan kerajaan yang mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kekeliruan status ziarah kubur mulai timbul ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi kubur ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang pada 28 Ogos lalu.

Ramai netizen mendakwa, Ahli Parlimen Bera itu melanggar SOP dan undang-undang malah dikatakan wujud amalan dua darjat antara masyarakat biasa dengan golongan kenamaan.

Ia berikutan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu masih menjadi Perdana Menteri mengumumkan aktiviti ziarah hari raya dan ziarah kubur dilarang.