UiTM pertahankan status juara Sukan MASUM Fasa Satu

Kontinjen UiTM menguasai Karnival Sukan MASUM Fasa Satu.
Kontinjen UiTM menguasai Karnival Sukan MASUM Fasa Satu.
A
A
A

KONTINJEN Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendominasi Karnival Sukan MASUM Fasa Satu yang melabuhkan tirai di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

UiTM mengungguli temasya itu dengan mengutip 19 emas, 19 perak dan 16 gangsa mengatasi Universiti Putra Malaysia (UPM) kedua dengan 14 emas, 10 perak dan 10 gangsa.

Universiti Malaya (UM) pula di tempat ketiga dengan 11 emas, 3 perak dan 5 gangsa dalam temasya yang melibatkan penyertaan 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA)..

Edisi kali ini menyaksikan skuad memanah UiTM tampil cemerlang apabila membawa pulang tujuh emas, lima perak dan lima gangsa meninggalkan pencabar terdekat UPM dengan lima emas, enam perak dan tiga gangsa.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula mendapat dua emas, tiga perak dan dua gangsa di ketika Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) pusat kecemerlangan memanah sukan (PKS) memanah mengakhiri cabaran keempat dengan dua gangsa.

Skuad taekwondo UiTM juga cemerlang dengan enam emas, empat perak dan lapan gangsa menewaskan UM (enam emas, satu perak dan empat gangsa) manakala UPSI (empat emas, dua perak dan tiga gangsa).

Acara bola baling lelaki dan wanita pula menyaksikan penguasaan menyeluruh UiTM apabila muncul juara bagi kedua-dua acara tersebut.

Sebagai rekod Sukan MASUM Fasa Satu mempertandingkan lapan acara antaranya memanah, taekwondo, bola baling, boling padang, softball, menembak, bola tampar dan bola keranjang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohamed menyifatkan kejayaan kontinjen universiti tersebut mengungguli Sukan MASUM Fasa Satu hasil sokongan berterusan pengurusan tertinggi UiTM.

Selain itu katanya, latihan pusat berkala dan semangat juang tinggi para atlet serta pengurus dan jurulatih pasukan juga menterjemah segala keputusan dalam bentuk kilauan pingat.

“Lebih manis lagi kontinjen UiTM juga mempertahankan kejuaraan dimenanginya pada edisi 2018, 2019, 2020 dan 2022 (2021 tidak dipertandingkan kerana negara dilanda Covid-19),” katanya.

Sebagai rekod, Sukan MASUM Fasa Dua menyingkap tirai di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 23 hingga 30 Ogos.

Antara acara yang dipertandingkan ialah bola jaring, basikal MTB, catur, hoki, karate, silat, petanque dan ragbi 15 sebelah.