Empangan Sabo siap dalam tempoh tiga bulan

Zaini (kiri di atas) menerangkan mengenai pembinaan Empangan Sabo pada Webinar Inovasi Pelestarian Alam Sekitar yang berlangsung secara maya pada Sabtu.
Zaini (kiri di atas) menerangkan mengenai pembinaan Empangan Sabo pada Webinar Inovasi Pelestarian Alam Sekitar yang berlangsung secara maya pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Projek pembinaan Empangan Sabo di Gunung Jerai dijangka boleh disiapkan dalam tempoh tiga bulan bagi mengelakkan insiden banjir akibat kepala air berulang.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, permulaan pembinaannya juga akan dipercepatkan.

"Kita boleh memulakan projek ini pada pertengahan bulan atau akhir bulan ini.

"Dengan jangkaan ia boleh siap secepat tiga bulan, projek ini boleh siap pada Disember nanti," katanya selaku panelis program Webinar Inovasi Pelestarian Alam Sekitar yang berlangsung secara maya pada Sabtu.

Webinar itu turut membariskan tiga lagi panelis iaitu Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM), Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh; Profesor Institut Infrastruktur Tenaga Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Datin Profesor Ir Dr Lariyah Mohd Sidek dan UM Water Warriors Living Lab Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Zeeda Fatimah Mohamad.

Ketua Penolong Setiausaha KASA, Dr Zurina Moktar pula bertindak sebagai moderator.

Sebelum ini kerajaan telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk pembinaan Empangan Sabo di Gunung Gerai susulan bencana banjir akibat kepala air pada 18 Ogos lalu.

Sementara itu, Zaini berkata, penggunaan teknologi Empangan Sabo adalah penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan masalah banjir kilat dan banjir monsun.

Artikel Berkaitan:

Akibat bencana banjir itu, katanya, takungan air, struktur semulajadi dan empangan kecil di kawasan pergunungan itu telah rosak sehingga memerlukan pembinaan Empangan Sabo.

Zaini berkata, pembinaan projek itu adalah inovasi yang dilakukan kerana isu-isu berkaitan pelestarian alam sekitar perlu dilakukan secara bukan konvensional.

"Banjir sekarang bukan sahaja banjir monsun tetapi berlaku disebabkan kepala air hingga batu-batu di pergunungan dan tanah tinggi runtuh. Jadi kita kena hadapi perkara ini.

"Kalau mengikut kaedah biasa, kita perlukan tiga atau empat tahun untuk melakukan tindakan pertama dari segi fizikal dan infrastruktur," jelas beliau.

Tambah Zaini, dengan adanya inovasi termasuk penggunaan teknologi Empangan Sabo, bencana tersebut akan dapat diselesaikan.