'Janji tiga bulan tapi dah masuk lima tahun benteng masih tak siap'

Keadaan bot nelayan di muara Kemasik. Gambar kecil: Rozali, Mohd Pilus
Keadaan bot nelayan di muara Kemasik. Gambar kecil: Rozali, Mohd Pilus
A
A
A

KEMAMAN - Nelayan di Kemasik di sini meluahkan rasa kecewa apabila pembinaan benteng pemecah ombak yang dibina kerajaan Terengganu tidak disiapkan sepenuhnya sekali gus gagal menyelesaikan isu muara cetek dihadapi mereka sejak sekian lama.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan Kemasik, Rozali Ismail berkata, projek bernilai RM7 juta itu gagal menghalang muara Kemasik daripada terus cetek selain pembinaannya tidak sempurna kerana tiada sebarang pemantauan.

“Projek ini dah tiga, empat tahun dibuat... janji tiga bulan (siap). Tapi sudah masuk lima tahun, benteng tersebut masih tidak siap sepenuhnya.

“Lagipun projek ini tidak ada yang pantau. Sepatutnya projek RM7 juta perlu ada mana-mana agensi yang pantau.

Suasana di muara Kemasik.
Suasana di muara Kemasik.

“Bila ada nelayan suarakan perkara ini, mereka kata nelayan yang bodoh, ini yang jadi susah,” dakwannya kepada pemberita di Kuala Kemasik di sini, pada Sabtu.

Seorang lagi nelayan tempatan, Mohd Pilus Awang berkata, batu-batu yang digunakan untuk dijadikan benteng ombak telah jatuh dan ia menyempitkan lagi laluan bot.

"Semasa musim berombak nelayan mengalami kesukaran untuk memasuki muara Kemasik manakala ketika air surut pula kami terpaksa menarik bot masing-masing ke luar muara.

“Kalau nak ke laut kami terpaksa menarik bot ke luar, ibarat macam lembu tarik barang. Semua (bot) kena alih ke depan,” ujarnya.

Mohd Khairi (tengah) bersalaman dan beramah mesra dengan nelayan di sekitar Muara Kemasik.
Mohd Khairi (tengah) bersalaman dan beramah mesra dengan nelayan di sekitar Muara Kemasik.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Mohd Khairi Afiq Mohd Yusof berkata, beliau telah mendengar keluhan daripada nelayan tersebut berhubung masalah muara yang cetek dan sempit.

Menurutnya, beliau akan mengambil perhatian serius berhubung isu berkenaan sekiranya diberi mandat selepas 12 Ogos nanti.

“Insya-ALLAH, jika diberi mandat maka kami akan cuba selesaikan masalah ini manakala muara yang sempit itu akan diberi perhatian lebih serius,” jelasnya.