'Pak guard' meninggal, polis klasifikasi semula kes sebagai bunuh

Video seorang pengawal keselamatan diserang seorang lelaki berlaku pada 29 Disember tahun lalu yang ditularkan semula menerusi aplikasi WhatsApp.
Video seorang pengawal keselamatan diserang seorang lelaki berlaku pada 29 Disember tahun lalu yang ditularkan semula menerusi aplikasi WhatsApp.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Kes video tular pengawal keselamatan dipukul seorang lelaki di sebuah kondominium di sini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia berikutan dengan kematian mangsa pada Jumaat lalu akibat dipukul pada 29 Disember 2020.

"Polis telah merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek.

"Polis mengklasifikasikan semula kes ini pada hari mangsa meninggal dunia di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, kes ini masih menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwa raya.

"Kita memandang serius aktiviti jenayah yang berlaku dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dengan adil, telus dan saksama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Pengawal keselamatan diserang video lama'

Justeru, beliau menasihatkan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan dengan kes ini bagi mengelakkan dari mendatangkan keresahan dan kemarahan masyarakat.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan kertas siasatan video seorang pengawal keselamatan diserang seorang lelaki telah dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Mangsa meninggal dunia di rumahnya dan hasil bedah siasat pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada hari sama mendapati punca kematian disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.

Hasil siasatan polis mengenai kejadian serangan itu sebelum ini berpunca daripada tindakan suspek tidak berpuas hati kerana mangsa menghalang anak suspek menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu.

Kes tersebut dijadualkan disebut semula di Mahkamah Majistret Ipoh pada 9 September depan.