Video tular gaduh guna rotan: Polis kenal pasti identiti lima suspek

Video tular memaparkan lima lelaki terlibat dalam pergaduhan menggunakan rotan di jalan raya di Tanjung Rambutan, Ulu Kinta. - Gambar/ Media sosial
Video tular memaparkan lima lelaki terlibat dalam pergaduhan menggunakan rotan di jalan raya di Tanjung Rambutan, Ulu Kinta. - Gambar/ Media sosial
A
A
A

IPOH - Polis sudah mengenal pasti lima individu yang terlibat dalam video tular pergaduhan menggunakan rotan di atas jalan raya di Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan-Tambun, Ulu Kinta, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, justeru pihaknya meminta semua suspek berumur dalam lingkungan 30-an terbabit menyerah diri bagi membantu siasatan.

“Kesemua individu dalam video pergaduhan yang tular itu telah dikenal pasti yang mana umur mereka dalam lingkungan 30-an.

“Saya tidak dapat memperincikan maklumat kerana siasatan masih berjalan. Justeru, kita minta untuk semua individu dalam video itu untuk tampil menyerah diri kepada polis,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Sabtu, Astro AWANI melaporkan tular video memaparkan lima lelaki tempatan yang terlibat dalam pergaduhan menggunakan rotan di jalan raya di Tanjung Rambutan, Ulu Kinta dekat sini.

Yahaya berkata berdasarkan kepada siasatan awal, pihaknya mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pada jam 5.30 petang Khamis.

Dalam video berdurasi 17 saat itu, seorang lelaki dipercayai telah dipukul oleh tiga individu yang memakai topi keledar dengan dua daripada mereka menggunakan rotan. - Awani